Semangat Perpaduan PAU 2024 Suntik Momentum Luar Biasa, Penggerak Parti – Azhari

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 yang melabuhkan tirainya pada Sabtu lalu memperlihatkan semangat perpaduan sangat jitu daripada keseluruhan perwakilan yang hadir, kata Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari.

Menurut beliau, selain kemeriahan luar biasa, ia juga juga menyaksikan momentum luar biasa daripada mereka apatah lagi dengan kemenangan UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri yang menyuntik semangat gerak kerja dalam kalangan penggerak parti.

“Penganjuran PAU pada tahun ini jauh lebih meriah dan kehadiran lebih ramai orang sama ada perwakilan mahupun ahli-ahli UMNO dari seluruh negara. Saya melihat memang semangat apatah lagi setelah kita baru sahaja memenangi pilihan raya DUN Nenggiri.

“Jadi momentum itu memang sangat luar biasa dan saya melihat ucapan-ucapan daripada semua perwakilan sama ada sayap-sayap dan di peringkat PAU ucapan yang sangat hebat dan bersemangat,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Azhari dalam pada itu turut sama menyambut baik pesanan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memperincikan hala tuju parti ini, di samping berikrar untuk sentiasa berpegang kepada perjuangan parti keramat ini dalam memperkasa orang Melayu dan agama Islam.

Mengulas lanjut beliau berkata meskipun dengan dinamika politik hari ini, UMNO tidak berganjak dalam membawa perjuangannya khususnya terhadap nasib bangsa Melayu dan agama Islam, sekaligus memastikan UMNO sebagai parti Melayu terbesar yang terus relevan.

“Ucapan dasar Presiden yang lebih nampak lebih terperinci dari segi naratifnya dan juga hala tujunya untuk kita hadapan.

“Saya melihat saya pun ingin ambil sempatan ini nak bercakap lah bahawa kita UMNO sama ada kita apa jua kedudukan kita pada hari ini sehingga ke hari ini kita tidak akan pernah meninggalkan perjuangan hakiki iaitu membela nasib agama, bangsa dan negara dan juga raja-raja Melayu.

“Apa jua keadaan sekalipun ini teras kita ini adalah perjuangan kita yang termaktub dalam Perlembagaan dan kita tidak berganjak seinci sekalipun dari kita mempertahankan bahasa Melayu, agama Islam dan raja-raja Melayu. Jadi apa pun mereka kata apa pun di luar sana nak sebarkan segala macam tohmahan, dakyah dan persepsi UMNO,” uajr beliau.

Terdahulu PAU 2024 melabuhkan tirainya pada Sabtu lalu dengan kehadiran lebih 15,000 pengunjung bagi menyaksikan hala tuju parti keramat ini terutama sebagai persiapan mendepani pilihan raya akan datang.

Pada ucapan penggulungan, Ahmad Zahid mengakui bahawa UMNO adalah parti yang tidak sempurna sekaligus merencanakan susun atur kerja bagi memperkukuhkan parti semula di semua peringkat di samping mendepani perubahan dengan mendakap teknologi baharu dalam bidang komunikasi politik sebagai usaha mendekati para pengundi khususnya golongan muda. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit