Masa Teruskan Khidmat Bakti, UMNO Beaufort Konsisten Laksana Ziarah Prihatin

KUALA PENYU, 29 Ogos – Usai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang berlangsung dengan jayanya Sabtu lalu menjadi penyuntik semangat untuk para perwakilan termasuk ketua-ketua bahagian kembali ke lapangan dan meneruskan khidmat bakti yang sememangnya amat sinonim dengan UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, pesanan daripada Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi serta sesi perbahasan dari wakil-wakil negeri menjadi penguat semangat yang dibawa pulang dan menggerakkan parti dalam pelbagai gerak kerja.

Katanya, UMNO kini perlu lebih strategik dalam semua pendekatannya namun dalam masa yang sama masih terus konsisten melaksanakan politik khidmat bakti dan turun padang secara langsung.

“Dalam senario politik semasa yang bergerak pantas dan berdaya saing ini, kita tidak boleh selesa tetapi mesti terus bekerja dan menyantuni masyarakat setempat.

“Untuk di Beaufort, kami meneruskankan gerak kerja dengan sentiasa komited menyusuri rakyat di bawah dan menghulurkan bantuan setakat yang kami termampu demi untuk meringankan sedikit beban bagi mereka yang perlukan bantuan dan pembelaan,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau berkata demikian selepas melakukan sesi ziarah kepada keluarga mereka yang telah meninggal dunia baru-baru ini.

Antara yang dikunjungi ialah keluarga Allahyarham Gador Ayuddin dan keluarga Allahyarham Mohd Alvinesh Abdullah di Kampung Jangkit, keluarga Allahyarham Azleezam Abdullah di Kampung Linsuk dan keluarga Allahyarhamah SN Norsinah Lakum di Kampung Sangkabok, Menumbok, di sini.

Jelas Awang Aslee, kebersamaan dalam keluarga besar UMNO menjadi pengikat dan bersama berkongsi kedukaan di samping sokongan moral untuk terus tabah berdepan dugaan.

“Gerakan dan program ziarah prihatin ini adalah antara usaha yang dilaksanakan UMNO secara konsisten malah menjadi tali pengikat untuk masyarakat dan kepimpinan UMNO di sini,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau melahirkan penghargaan kepada anggota jawatankuasa parti yang bersama-sama bekerja merealisasikan perjuangan UMNO.

Turut serta dalam progrm ziarah prihatin tersebut ialah Naib Ketua Wanita Bahagian Beaufort, Norjanah Saban; Naib Ketua Puteri bahagian, Noor Baizurah Jiris dan Setiausaha bahagian, Abd Rahman Talib serta ahli-ahli jawatankuasa bahagian empat peringkat di samping ketua-ketua cawangan setempat. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.