UMNO/BN Selari Kehendak Rakyat, Amal Pendekatan Politik Sentris Dan Sederhana
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Arman Azha Abu Hanifah berpandangan UMNO/Barisan Nasional (BN) pada masa kini perlu selari dengan kehendak rakyat dengan mengamalkan politik sentris atau sederhana.
Menurut beliau pendekatan tersebut dituntut apatah lagi dengan lanskap politik kini lebih dinamik dan progresif.
“Saya konsisten dengan pendekatan konsep politik yang sentris atau sederhana. Banyak kali saya nyatakan lanskap politik kini lebih dinamik dan progresif. UMNO/BN perlu selari dengan apa yang rakyat mahukan dalam lanskap politik terkini.
“Jadi konsep politik sentris ni adalah satu pendekatan yang perlu kita gunapakai dan terapkan dalam situasi politik hari ini.
“Politik sentris juga adalah sebahagian dinamika politik. Ianya adalah pendekatan yang digunapakai bukan sahaja dalam negara Malaysia malah kini politik dunia juga kini mengunakan pendekatan sama,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negara mengakui bahawa telah menggunakan pendekatan tersebut di kawasan beliau bagi memastikan parti ini terus relevan mendepani cabaran politik.
Tambah Arman lagi, ini juga sebagai elemen penting sebagai mendekati pelbagai segmen khususnya anak muda.
“UMNO Subang telah mengunakan pendekatan ini sejak kali pertama saya diberikan mandat sebagai Ketua UMNO Bahagian pada 2018 sehingga kini.
“Generasi muda, masyarakat sivil, golongan atas pagar, pendokong politik parti yang berbeza dan tak lupa pola pengundi serta penyokong setia UMNO/BN mahukan pendekatan yang lebih segar dan lebih mudah diterima,” ujar beliau. – UMNO Online