Tolak Momokan Parti Malaya, UMNO Terbukti Parti Kebangsaan – Royani

LAHAD DATU, 28 Ogos – Ketua Wanita UMNO Bahagian Lahad Datu, Royani Rafael membidas pihak yang memomokkan rakyat dengan dakwaan bahawa UMNO Parti Malaya dan dakwaan ini perlu ditolak.

Tegasnya, pihak yang bercakap sedemikian adalah mereka yang cuba menutup kegagalan sendiri dan cuba memburuk-burukkan UMNO.

“Mereka meratib ‘UMNO Malaya’ sedangkan mereka juga lahir dari rahim UMNO. Yang pelik apabila yang bercakap itu adalah bekas pemimpin dari UMNO, mendapat kedudukan dan menikmati hasil dari UMNO. Dulu masa dalam UMNO, tiada pula sebut parti Malaya.

“Hakikatnya UMNO bukanlah parti Malaya kerana UMNO itu parti nasional, parti kebangsaan. Bila disebut kebangsaan maka satu Malaysia boleh pakai.

“UMNO yang memperjuangkan nasib rakyat seluruh negara termasuklah di Sabah. Ini kenyataan dan fakta yang harus difahami oleh semua,” katanya.

Terdahulu beliau telah mengambil bahagian sebagai pembahas dalam Persidangan Wanita UMNO yang membawakan usul politik pada Khamis lalu.

Royani turut mengimbas kembali sejarah kemasukan UMNO ke Sabah 33 tahun lalu yang juga adalah kerana diminta dan dijemput sendiri oleh para pemimpin lokal Sabah.

“Antara lain sebabnya adalah untuk membangunkan Negeri Sabah dan membela nasib rakyat Sabah sendiri.

“Faktanya ialah, sebelum UMNO melebarkan sayapnya ke Sabah pada tahun 1991, Negeri Sabah telah diperintah oleh tiga parti lokal yang berbeza, bermula dengan USNO, kemudian parti Berjaya, selepas itu PBS. Ketiga-tiga parti ini adalah parti lokal Sabah dan gagal membangunkan Sabah seperti apa yang ada pada hari ini.

“Selepas UMNO memerintah Sabah bermula pada tahun 1994 hingga tahun 2018, negeri Sabah jauh lebih pesat membangun berbanding sebelumnya. Ini jelas terbukti.”

Jelasnya, pada tahun 2018, UMNO Sabah tidak kalah tetapi dikhianati, dan kerajaan parti yang merampas kuasa ketika itu juga parti lokal masih lagi merasmikan projek-projek pembangunan hasil diwarisi dari UMNO yang mereka khianati.

“Kerajaan negeri hari ini pun duduk bersemayam di atas pembangunan yang dibuat oleh UMNO. Mereka tahu ini semua tetapi mereka menafikan pembangunan dan kemajuan yang dibawakan oleh UMNO.

“Hakikatnya tiada satu pun pembangunan yang dibuat oleh mereka untuk Negeri Sabah selain papan tanda ‘Sabah maju jaya’.

“Hari ini, walaupun mereka cuba untuk memesongkan rakyat Sabah dengan isu UMNO parti Malaya, tapi hakikanya UMNO Sabah di pimpin oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin adalah orang sabah malah tiada seorang pun dalam barisan kepimpinan UMNO Sabah orang Malaya. Semuanya orang Sabah,” tegasnya.

 

Beliau memaklumkan bahawa banyak kepincangan yang berlaku di bawah pemerintahan kerajaan negeri Sabah yang ada sekarang.

“Saban hari rakyat dihambat dengan kesusahan dan kesukaran menjalani kehidupan seharian. Siri kegagalan mereka ibarat drama bersiri di tv yang setiap hari dan berterusan dihidangkan kepada rakyat.

“Masalah bekalan air yang tak berpenghujung, masalah bekalan eleterik yang bersambung-sambung, itu belum lagi masuk jalan raya yang kalau kita lalu seperti dilambung-lambung.”

Justeru katanya, Wanita UMNO Sabah bertekad untuk mengatasi masalah di Sabah dan tiada cara lain iaitu dengan UMNO harus kembali memerintah.

“Kerana hanya UMNO sahaja yang dapat membela nasib rakyat Sabah, kerana tradisi perjuangan UMNO adalah tradisi perjuangan membela rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.