Tengku Azman Hargai Keprihatinan UMNO, Jalan TAR Bakal Jadi Zon Kebudayaan, Kesenian Dan Warisan Bumiputera

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Cadangan untuk menjadikan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) sebagai zon khas ekonomi kebudayaan, kesenian dan warisan Bumiputera yang diusulkan dalam sesi Perbahasan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024) telah disambut baik kepimpinan parti.

Dalam hal ini, Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin melahirkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang bersetuju untuk membawa perkara ini kepada jemaah menteri bagi pelaksanaanya.

Katanya, usul yang disambut kepimpinan parti di hadapan para perwakilan UMNO seluruh negara dalam PAU 2024 adalah satu inspirasi kepada anggota akar umbi untuk terus bekerja.

“UMNO Wilayah Persekutuan mengusulkan untuk mengangkat kawasan terbabit selari dengan kedudukan strategik dan tumpuan ramai untuk diwartakan.

“Di samping itu identiti Melayu juga akan dapat diwujudkan di situ, bukan saja untuk produk ekonomi tetapi juga dapat dimanfaatkan ke sektor lebih luas seperti industri pelancongan. Ini kerana Jalan TAR menjadi tempat tumpuan dan antara ‘tempat wajib pergi’ apabila datang ke Kuala Lumpur,” katanya kepada UMNO-Online.

Tengku Azman yang menjadi pembahas wakil Wilayah Persekutuan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 berkata, cadangan tersebut diangkat kerana ia bukanlah sesuatu yang mustahil malah Presiden UMNO sendiri pernah melakukannya apabila menjadikan zon merah di Bukit Bintang berubah wajah menjadi Arab Park.

“Kita mahukan Jalan TAR berwajah baharu dan dapat dinaik taraf dengan pewartaan yang akan memberi nilai tambah kepada bangsa kita juga.

“Di Kuala Lumpur kita dapati bahawa imej budaya Melayu agak tenggelam berbanding dengan budaya-budaya bangsa lain, Sedangkan di sini ada pelbagai etnik dan menjadi pusat kepada masyarakat seluruh negara.

“Jalan Tuanku Abdul Rahman yang suatu ketika dahulu menjadi lokasi dimana orang orang Melayu mencari rezeki kini sudah mula hilang identitinya maka dengan pelaksanaan cadangan tersebut tentunya ia akan menyemakkan kembali Jalan TAR yang popular di kalangan orang Melayu membeli belah setiap minggu dan paling ikonik pada bulan Ramadan,” katanya.

Ujarnya, permasalahan berkaitan kehidupan menjadi perjuangan UMNO sejak penubuhannya hinggalah ke hari ini dan setiap usaha dilaksana dalam agenda memperkasa bangsa.

“UMNO inilah harapan rakyat dan akan tetap menjadi tempat berteduh, mengadu nasib, merintih dan meminta pertolongan dari dulu, kini dan insya-Allah selamanya. Justeru, usaha sentiasa dibuat bagi melaksana agenda terbaik untuk rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.