PPBM Dakwa Perjuangkan Melayu/Islam? Ketika Berkuasa Isu Sensitif, ICERD Bisu Seribu Bahasa

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Pandan Datuk Jamaluddin Ropa membidas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM/Bersatu) yang kononnya mendakwa mereka memperjuangkan agenda Melayu dan Islam.

Imbaunya, ketika mememang tampuk pemerintahan negara pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), pelbagai isu sensitif yang menyentuh kepentingan agama Islam dan orang Melayu tetapi parti tersebut yang berada di dalam kerajaan hanya diam seribu bahasa.

Katanya, ini terutamanya dapat dilihat berkaitan dengan isu Tabung Haji, pelantikan peguam negara yang penuh kontroversi serta usaha kerajaan meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD).

“…sepatah pun yang konon memperjuangkan Melayu/Islam yang duduk dalam kerajaan itu tak berkata, membisu seribu bahasa.

“Isu ICERD yang hampir ditandatangani dan akhirnya UMNO bangkit dari luar gelanggang bersama umat Islam yang tak duduk dalam kerajaan menentang ICERD tersebut dan akhirnya, Alhamdulillah sampai hari ini ICERD tersebut tidak ditandatangani,” kata wakil negeri Selangor itu dalam sesi perbahasan Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, Sabtu.

Tegasnya lagi, dalam masa 22 bulan parti tersebut tidak mampu membuat apa-apa apabila ada pihak di dalam kerajaan yang mengusik kepentingan orang Melayu dan Islam.

“Itu baru 22 bulan… bukan lima, sepuluh tahun… bayangkan kalau mereka memerintah selama sepuluh tahun, apa terjadi kepada perancangan yang kita buat selama ini, agensi-agensi kerajaan MARA, UiTM, UIA.

“Di bawah Barisan Nasional (BN) macam-macam agensi kita buat seperti FELDA, RISDA, KESEDAR, FELCRA, Ketengah, apa terjadi… seandainya UMNO tidak ada dalam kerajaan. Apa terjadi kepada agama Islam, orang Melayu dan Raja-Raja Melayu?” katanya.

Oleh kerana itu katanya, UMNO perlu berada dalam kerajaan dan terbukti sejak awal penubuhan kerajaan, UMNO dan BN sentiasa menjaga kepentingan orang Melayu dan Islam tanpa melupakan hak-hak kaum lain.

“Hasil perjuangan UMNO apabila telah berjaya merdeka, kita isi kemerdekaan tersebut dengan pelbagai dasar seperti dasar pendidikan, ekonomi yang dipimpin kerajaan waktu itu Barisan Nasional dan sebelumnya Perikatan.

“Kalau dulu orang Melayu berniaga kecil-kecilan, hari ini berapa ramai tokoh korporat yang lahir dari dasar yang diperkenalkan oleh UMNO. Begitu juga kita mampu melahirkan cendekiawan, agamawan hasil yang dibawa oleh perjuangan UMNO dan kita yang merupakan ‘anak’ UMNO ini merasa kenikmatan perjuangan yang dibawa oleh UMNO,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit