Pemuda Beaufort Sambut Baik Inisiatif UMNO Perkasa TVET

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Beaufort menyambut baik inisiatif kerajaan dalam memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ketuanya, Ak Mohd Yazri Ak Mohd Yahya berkata, pemerkasaan tersebut penting dalam mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing serta selari dengan kemajuan digital ketika ini.

“Pemerkasaan itu bakal menarik lebih ramai orang untuk menceburinya terutama golongan muda sekali gus mampu melahirkan pakar dalam bidang berkenaan” ucapnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berkaitan ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Dr Akmal Saleh di Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda pada Khamis lepas.

Menurut Dr Akmal, Pemuda UMNO Malaysia akan terus memberi komitmen dalam memperkasa dan memaksimumkan potensi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada golongan muda di negara ini.

Beliau turut memuji Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang telah mengangkat TVET ke suatu aras yang lebih baik dan menjadi pilihan pendidikan utama.

Sementara itu, dalam ucapan Dasar, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Kemajuan desa dan Wilayah memberi maklum balas positif saranan Pemuda UMNO untuk mengangkat TVET sebagai agenda besar .

Ak Mohd Yazri berkata dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, pasaran kerja yang agak terhad serta sumber dunia yang semakin defisit, pendidikan TVET harus diteroka dan dimaksimumkan potensinya bagi membolehkan ia menjadi jalan keluar buat anak-anak muda yang terperangkap dalam kos sara hidup yang semakin menekan.

Beliau berkata pemerkasaan TVET mampu menyediakan peluang buat pelajar-pelajar memperoleh kemahiran praktikal yang relevan dengan keperluan industri, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan dan mengurangkan kadar pengangguran serta menghasilkan graduan yang bergaji premium.

Sehubungan dengan itu, Mohd Yazri turut memberikan saranan agar kerajaan memperkasakan institusi kemahiran seperti pusat GiatMARA khususnya di Sabah yang memerlukan penambahbaikan terutamaya dari segi kemudahan asas dan infrastruktur asas yang masih dalam keadaan serba kekurangan.

“Pemerkasaan ini bukan sahaja dari aspek akademiknya. Namun, kemudahan asas di beberapa institusi kemahiran di Sabah perlu diberikan perhatian bagi memastikan para pelajar di beberapa buah institusi kemahiran di negeri ini dapat belajar dalam keadaan yang lebih kondusif,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.