Kemenangan Nenggiri Mesti Dizahirkan Di Mahkota, UMNO Johor Alu-alukan Jentera Seluruh Negara

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Kemenangan manis dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri hendaklah diteruskan pula di DUN Mahkota, kata Ketua UMNO Bahagian Segamat Datuk Zahari Sarip.

Katanya, UMNO Negeri Johor mengalu-alukan semua pejuang parti dari seluruh negara untuk bersama-sama turun ke DUN Mahkota dalam memastikan kemenangan besar menjadi milik Barisan Nasional (BN) sebagaimana sasaran Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri merangkap Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Kalau mengikut kepada rekod di DUN Mahkota ini, rasanya tidak sukar untuk kita memenangi kerusi ini. Walaubagaimanapun, Pengerusi Perhubungan kami telah menetapkan bahawa untuk DUN Mahkota bukan (sahaja) nak menang, tetapi nak menang besar.

“Kami mengalu-alukan jentera parti seluruh negara turun ke Mahkota untuk bersama kita memenangi DUN Mahkota ini,” katanya ketika sesi perbahasan Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Jelas Exco Kerajaan Negeri Johor itu lagi, terdapat beberapa faktor penyumbang kepada kemenangan parti dalam PRK di DUN Mahkota sama seperti di DUN Nenggiri lalu.

“Faktor utama, kita masih mengekalkan jeneral yang sama di pusat Presiden kita, jeneral di peringkat negeri ialah Pengerusi Perhubungan dan jeneral di peringkat Bahagian ialah Ketua UMNO Bahagian Kluang.

“Saya melihat ketiga-tiga ini merupakan mereka yang sangat komited untuk memastikan kemenangan. Faktor kedua adalah kerjasama jentera yang datang dari seluruh negara untuk bersama bantu UMNO dan BN. Kepada jentera yang akan datang dari selatan hingga ke utara, parti keramat kita pertahankan, DUN Mahkota kita menangkan.

“Kami juga mohon agar calon yang akan ditetapkan oleh parti juga merupakan calon yang popular dan yang mudah diterima oleh pengundi, baik pekerti, mudah didekati dan nampak ketokohan di mata rakyat,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 September depan adalah hari pengundian PRK DUN Mahkota manakala tarikh penamaan calon pula pada 14 September dan hari pengundian awal ditetapkan pada 24 September 2024.

Kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu selepas mengalami pendarahan dalaman.

Anak kelahiran Kluang itu merupakan Ketua Wanita UMNO Kluang sejak 1993 dan memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022 dengan majoriti 5,166 undi menewaskan calon Pakatan Harapan Taqiuddin Cheman; calon Perikatan Nasional Mohamad Nor Lingan serta calon Warisan Mohamed Noor Suleiman.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Zahari berkata UMNO Johor merakamkan tahniah kepada semua jentera yang terlibat dalam membantu kemenangan BN di Nenggiri hingga mampu memperolehi majoriti undi yang sangat membanggakan.

“Kemenangan ini sangat bermakna kerana sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kita melihat seolah-olah orang Melayu menolak BN, orang muda menolak UMNO.

“Tetapi telah dibuktikan di Nenggiri bahawa negeri majoriti Melayu kita telah menang besar. Yang manisnya, kita memperolehi undi yang sangat besar daripada golongan muda.

“Justeru, ia telah memadam “orang Melayu dan orang muda menolak BN” dan ditambah manis apabila kita menang di negeri yang ditadbir oleh kerajaan Pas,” katanya.

Pada 17 Ogos lalu, calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau lebih dikenali dengan panggilan Awie memenangi PRK DUN Nenggiri yang memperoleh 9,091 undi menewaskan pencabarnya dari Pas (5,739 undi) dengan majoriti 3,352 undi.

Zahari juga berpesan kepada seluruh jentera parti agar bekerja dengan lebih kuat, memastikan UMNO menjadi juara rakyat dan jangan dibuai dengan kemenangan di Nenggiri kerana apa yang lebih utama kini adalah memenangi hati lebih 70 peratus pengundi seluruh negara yang tidak aktif berparti. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit