Pemimpin Dan Ahli UMNO Perlu Bersatu Demi Capai Kemenangan – Rashidi Zinol

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – UMNO Pulau Pinang berpandangan semua pemimpin parti perlu bersatu padu dan bekerja dengan ikhlas demi mencapai kemenangan.

Wakilnya, Datuk Rashidi Zinol berkata perjuangan ahli UMNO dalam parti bukan sekadar menang ataupun nama parti sahaja tetapi adalah untuk menyelesaikan segala permasalahan dari rakyat.

“Kita berjuang dalam parti ini untuk menang, bukan untuk sekadar ada nama. Kalah dalam pilihan raya bukan sekadar angka, ia tanda bahawa ada masalah yang perlu kita selesaikan. Kita mesti berani mencari pengganti yang lebih layak.

“Ingatlah… jawatan Ketua Bahagian UMNO bukanlah harta pusaka untuk diwarisi. Jangan mudah menyalahkan Presiden bila kita tewas dan lebih buruk lagi, janganlah kita lompat parti demi kepentingan sendiri.

“Berpeganglah pada amanah dan tanggungjawab, kerana kemenangan sebenar adalah ketika kita teguh bersama, bukan hanya ketika kita menang di kertas undi. Bagaimana usaha kita untuk memenangi kerusi Nenggiri, maka itulah momentum yang sama perlu kita semua berikan untuk menghadapi PRK Mahkota tidak lama lagi dan sudah semestinya kita akan pertingkatkan berkali ganda untuk persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Dewan Merdeka, Worlds Trade Centre (WTCKL), pada Sabtu.  

Rashidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal juga berharap UMNO dapat menumpukan sepenuh perhatian pada kawasan-kawasan yang ada kemampuan menang pada pilihan raya akan datang.

“Kita perlu menyediakan jentera hebat yang terdiri daripada pemikir-pemikir setiap negeri dan seterusnya, UMNO perlu memberi tumpuan kepada kawasan yang ada kemampuan untuk menang berdasarkan fakta analisis yang telah dilakukan. Bukan sekadar sembang kedai kopi yang selalu diamalkan.

“Dunia hari ini sudah berubah, pemikiran rakyat juga berubah seiring dengan kuasa digitalisasi yang semakin pesat. Tanpa kesatuan, tiada makna perjuangan kita. UMNO harus teguh dalam satu saf, setia kepada imam yang dilantik oleh Majlis Kerja Tertinggi.

“Bila kita berpecah, kita hilang fokus dan tidak dapat mencapai kata sepakat untuk menawan hati rakyat di kawasan yang ingin kita menangi, tapi jika masing-masing ingin menunjukkan kehebatan sendiri, kerja kita pasti terganggu,” katanya lagi.

Seterusnya kata Rashidi lagi, parti ini harus kembali kepada akar perjuangan dan menunaikan amanah dengan penuh keikhlasan serta ketulusan.

“Jika UMNO ingin bangkit semula, parti ini harus menyedari bahawa kunci kebangkitan terletak pada pemulihan amanah. Pemimpin UMNO perlu kembali kepada akar perjuangan, menunaikan amanah dengan penuh keikhlasan dan ketulusan.

“Mereka perlu memperbaiki diri, merendahkan hati, dan berusaha untuk mengembalikan kepercayaan rakyat dengan menunjukkan bahawa amanah ini bukan sekadar kata-kata, tetapi tanggungjawab yang dijunjung tinggi,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit