Selamat Ulang Tahun Ke-75 Pemuda UMNO, Teroka Peluang Baharu Untuk Parti
KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan selamat menyambut ulang tahun ke-75 buat Pergerakan Pemuda UMNO dan berharap agar pergerakan tersebut meneroka peluang baharu untuk parti.
Katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri, pendekatan Pemuda UMNO pada zaman beliau pastinya berbeza dari pendekatan Pemuda ketika ini.
“Pada tanggal 26 Ogos ini, kita menyambut ulang tahun ke-75 Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, satu pergerakan yang telah menjadi pewaris kepada legasi perjuangan parti dan negara kita,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya, hari ini.
Ujarnya, Pemuda mestilah terus meneroka peluang baharu, mencipta gaya inovatif dan memastikan suara anak muda terus didengar di setiap peringkat.
“Anda adalah nadi perubahan yang akan menentukan masa depan UMNO dan Malaysia. Seperti yang saya ungkapkan ketika ucapan dasar PAU2024 baru-baru ini,
‘Pemuda dan Puteri jadilah jurubicara parti di alam maya melalui penghasilan content dan melahirkan influencers yang berwibawa. Di tangan andalah terletak harapan besar untuk mengubah sudut pandang anak-anak muda kepada parti dan kembali bersama dengan kita semula.’
“Marilah kita jadikan ulang tahun ke-75 ini sebagai detik untuk memperbaharui azam dan memperkuatkan langkah. Bersama, kita akan terus mengangkat Pemuda UMNO sebagai pergerakan berwawasan dan berpengaruh dalam memastikan kestabilan politik dan sosial di negara kita.
“Selamat menyambut Hari Ulang Tahun ke-75 Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,” katanya lagi. – UMNO Online