UMNO Perlu Kesinambungan Sokongan Generasi Baharu – Azalina

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – UMNO sebagai sebuah parti Melayu terbesar memerlukan kesinambungan melalui sokongan daripada generasi baharu, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Kata beliau, kesinambungan tersebut penting bagi memastikan kemenangan pada pilihan raya seterusnya kekal relevan dalam memenuhi cita rasa orang Melayu.

“Kita harus menerima bahawa sebagai parti politik yang besar keahliannya, kesinambungan itu penting. Maknanya kalau bercakap tentang kesinambungan mesti menerima hakikat patah tumbuh, hilang berganti.

“Dan itu sebabnya bila Pergerakan Pemuda, Puteri bercakap tentang ‘oh dia nakkan banyak tempat pada orang muda’ saya tidak membela orang berumur, tidak tapi bagi saya kekuatan UMNO ialah dua faktor.

“Satu, dia mempunyai pengalaman untuk memberi perkhidmatan sebab dah 78 tahun dalam politik Malaysia. Kedua, kesinambungan itu ialah pencampuran yang berlaku. Orang tua, baru, orang lama, orang bandar, luar bandar dan inilah sebenarnya yang menjadi acuan kepada kejayaan UMNO,” katanya.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), berkata demikian pada wawancara sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata parti ini kini berhadapan dengan cabaran apabila kewujudan parti-parti Melayu yang turut sama memberi kesan kepada UMNO.

“Sekarang ni cabaran UMNO yang paling besar banyak lagi parti politik Melayu/Islam yang menawarkan diri… dulu UMNO je lah, dulu kini selamanya.

“UMNO sekarang kena berani menerima hakikat bahawa perubahan kepada parti politik seperti UMNO untuk diganti itu memang ada.

“Antara rakyat nak atau tak nak itu sebabnya saya selalu nasihat kepada ahli parti kita, kita jangan terlalu sibuk-sibuk nak berebut kerus sampai menjahanamkan perjuangan kekuatan parti serta kena lebih bijaksana,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.