Pasca PAU 2024: UMNO Tetap Pertahankan Melayu-Islam

SEJAK penubuhannya, UMNO bersifat sederhana dan ini juga keinginan Presiden UMNO tanpa menggadaikan apa-apa yang mempunyai kepentingan Melayu-Islam. Pembangunan Islam Malaysia adalah dengan adanya UMNO tanpa perlu bersifat radikal dan ekstrem. Pegangannya adalah untuk mempertahankan Melayu-Islam untuk masyarakat negara ini. Ciri ini membolehkan Malaysia diiktiraf sebagai negara Islam progresif.

Terasnya, UMNO adalah pertubuhan yang telah dan akan terus mempertahankan perkara-perkara asas yang berkaitan dengan agama Islam dan hak istimewa orang Melayu, Perkara 3, 152 dan 153 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Biar dalam apa dua keadaan, UMNO tidak akan berkompromi dalam soal Agama, Etnik dan Raja (3R). Malahan sewaktu dibawa agenda untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Perjanjian Rome Statute, UMNO telah menolak sejak awal lagi dan tidak akan membenarkan ia dibuat selagi parti ini terus berjuang untuk masyarakat Melayu-Islam.

Barangkali ada yang melihat BN-UMNO hanya sekadar menjadi pelengkap Kerajaan, namun dalam kedudukan Presiden UMNO sebagai TPM bersama keseluruhan anggota Kabinet dari parti keramat ini, tidak seincipun akan dibiarkan maruah dirobek atau dirobohkan Perjuangan ke atas Melayu-Islam. Malahan, agenda berterusan adalah Pembangunan kesejahteraan masyarakat Melayu-Islam yang tidak menjejaskan kehidupan umat ini di tanah air sendiri.

Asasnya adalah keluhuran Perlembagaan dan Rukun Negara serta prinsip-prinsip yang didokong oleh UMNO sebagai penggerak dan nadi serta tulang belakang masa depan Melayu-Islam negara ini.

UMNO juga tidak akan membenarkan perpecahan berlaku disebabkan sesetengah pemimpin atau parti yang sentiasa membuat percaturan politik.

UMNO tidak akan menggelar sesiapa sebagai ‘dajjal’ kerana bagi UMNO, benteng kekuatan orang Melayu-Islam adalah kepimpinan berwawasan sebagaimana terbukti sepanjang UMNO ditubuhkan.

Kemarahan dan emosi sukar dikawal jika kita mahu lakukan segalanya mengikut keselesaan, apatah lagi sehingga ia meminggirkan kepentingan agama, bangsa dan tanah air.

Prinsip Ke-empat dalam Rukun Negara adalah Kedaulatan Undang-Undang. Ia bertujuan agar kita tidak bertindak mengikut perasaan dan melangkaui kepentingan kenegaraan dan manusiawi. UMNO menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara dulu, kini dan selamanya.

Hatta, kedaulatan undang-undang seperti dalam Rukun Negara Ketiga yang berlandaskan kepada keluhuran Perlembagaan perlu dihormati agar tidak merencat proses pembangunan dan kerancakan pembaharuan demi masa depan anak bangsa dan Negara Malaysia tercinta kita ini. Proses undang-undang tidak mengenal latar jalur politik, agama mahupun kelas dan persempadanan negeri.

Undang-Undang ini adalah milik kita dan kita perlu menjaganya agar keutamaan diberikan pada setiap warga yang memahami dan mahu memahami peri pentingnya keamanan, keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara.


Azalina Othman Said
Ahli Parlimen Pengerang

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit