Pasca PAU 2024: SUA Seru Ucapan Dasar Dan Penggulungan Presiden Jadi Panduan

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyeru agar amanat Ucapan Dasar dan penggulungan Presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 yang berakhir semalam menjadi panduan kepada semua dalam mengemudi parti di setiap peringkat.

Katanya, pasakkan dalam hati dan kukuhkan dalam jiwa supaya penerimaan rakyat di Nenggiri akan merebak ke seluruh negara.

“Alhamdulillah, Perhimpunan Agung UMNO 2024 telah melabuhkan tirai. Saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh perwakilan dan pemerhati yang datang memberi sokongan dan mempertaut ukhuwah dalam persidangan selama empat hari ini.

“Syabas kepada semua pembahas di perhimpunan utama dan sayap-sayap yang telah memberikan pandangan demi agama, bangsa, negara dan parti tanpa sedikit pun memainkan politik label-melabel kepada pihak lawan.

“Syukur walaupun PAU kali ini disambut selepas seminggu kemenangan besar di Nenggiri, tiada seorang pun yang berucap mendabik dada malahan semuanya menyambut kemenangan dengan tawaduk dan kesyukuran,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Dalam masa yang sama beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak termasuk kakitangan UMNO.

“Terima kasih juga kepada seluruh jentera UMNO khususnya staf Ibu Pejabat UMNO diketuai Setiausaha Kerja Datuk Mohd Sumali Molly yang bekerja kuat membantu saya selaku Setiausaha Agung dalam memastikan kelancaran program tahunan parti kita.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan aspek-aspek pembaharuan yang dilaksanakan kali ini juga diterima baik oleh semua perwakilan.”

Beliau turut memuat naik petikan Surah Ibrahim:7 yang bermaksud:

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.