Dewan Merdeka Sebak, Ahmad Zahid Bacakan Puisi Khas Untuk Najib
KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Dewan Merdeka tempat berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO 2024 diselubungi kesedihan apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan puisi khas buat mantan Presiden UMNO dan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menerusi ucapan penggulungan, Ahmad Zahid pada akhir ucapannya, semalam beliau membacakan puisi khas bagi menggambarkan perasaannya untuk dikongsi bersama para perwakilan yang memenuhi Dewan Merdeka.
Masing-masing tidak dapat menahan sebak dan mengalirkan air mata mengenangkan jasa serta pengorbanan Datuk Seri Najib yang sebelum ini menerajui parti serta mengemudi negara dengan penuh cemerlang.
Berikut adalah puisi penuh yang dibacakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid.
PUISI BUAT SAHABAT
Sahabatku,
Saat kita lewati liku perjuangan ini,
Kau tebas denai dengan ketajaman fikiranmu,
Kau atur gerak dengan tangkas langkahmu,
Kau angkat darjat bangsa dengan kudratmu…
Sahabatku,
Saat kita mula mengatur langkah,
Kau ada di hadapanku menunjuk arah,
Kau tabah mengimami jemaah,
Kau kukuhkan ikatan ukhwah.
Sahabatku,
Tatkala kau duduk di empuknya kerusi kuasa,
Kau sentiasa bingkas berdiri,
Membela nasib anak bangsa,
Kau perah keringat menabur jasa,
Ibarat lilin,
Membakar diri menerangi gelita…
Terdahulu Perhimpunan Agung UMNO 2024 turut menyaksikan agenda mengenai keadilan serta pembebasan Datuk Seri Najib disentuh bukan sahaja menerusi ucapan dasar Presiden malah para perwakilan yang membahaskan usul selama dua hari bermula semalam.
Majoriti pembahas mengemukakan usul agar keadilan dan pembebasan Datuk Seri Najib dilaksanakan mengikut lunas undang-undang.
Malah tidak ketinggalan Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri UMNO juga masing-masing berkongsi suara mengenai Datuk Seri Najib. – UMNO Online