Wanita, Pemuda Dan Puteri UMNO Perlu Berganding Bahu Kekang Isu Kebejatan Sosial – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO harus mengorak langkah untuk tampil dengan usaha dan pelbagai program bagi mendepani isu-isu kebejatan sosial yang berlaku di negara ini.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mutakhir ini pelbagai masalah kebejatan sosial yang amat menyayat hati dan perkembangan itu membimbangkan masyarakat.

“Dalam isu ‘cyber bully’ dan buli fizikal umpamanya, Pemuda, Puteri dan SiswaUMNO perlu menjalankan kempen dan menjuarai isu ini. Dalam isu perceraian umur muda, ibu bapa yang ditinggalkan, Wanita melalui Skuad Sayang dekati mereka dengan bimbingan.

“Perceraian umur muda juga semakin meningkat. Keganasan rumah tangga dan seksual kerap dilaporkan. Begitu juga kita sering terbaca kisah ibu bapa yang terabai dan tinggal tanpa anak-anak bersama mereka. Kemalangan motorsikal juga berkait dengan isu rempit menyaksikan angka kematian mencecah 5,000 setiap tahun. Lebih menyedihkan mereka yang terlibat seawal usia 13 tahun yang belum pun layak memiliki lesen memandu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Perhimpunan Agung UMNO 2024, di sini, hari ini.

Tambah Ahmad Zahid kebelakangan ini terlalu banyak isu sosial yang amat menyayat hati dan membimbangkan semua pihak dan contoh ini adalah antara kebejatan sosial yang semakin membimbangkan.

“Malah saban hari, kita mendengar kes pembunuhan yang kejam dan tak pernah terfikir oleh kita berlaku secara berleluasa. Kalau dulu anak hilang, mak ayah akan cari di rumah kawan mana dia lari. Tapi, hari ini kalau anak hilang, mak ayah ternanti-nanti di mana mayat anak nak ditemui.

“Untuk itu kita mesti tampil dengan pendekatan, menyantuni masyarakat dan melaksanakan program-program yang mahu orang Melayu, rakyat kembali melihat UMNO sebagai sebuah parti yang tampil mencari penyelesaian,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit