Tawaran Kursus TVET Terus Ke Alam Pekerjaan – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dijadikan agenda merentasi kaum dengan satu ekosistem pendidikan baharu yang menggunakan tenaga dalam negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara menjelaskan peluang perkerjaan sememangnya banyak tetapi industri memerlukan yang berkemahiran maka TVET adalah jawapannya untuk menyediakan kursus-kursus berkaitan dengan industri.
“Institusi TVET telah mengadakan kursus dan terpulang pada industri untuk mengambil pekerja-pekerja itu berdasarkan perubahan bidang yang diperlukan oleh industri tersebut dan kursus yang ditawarkan agar mereka terus masuk ke pasaran.
“Apa yang dilakukan ini adalah kolaborasi dan kerjasama antara industri dan institusi TVET. Kita dapati bahawa peningkatan pekerjaan di sekitar 97.4 peratus, meningkat daripada 94.5 peratus pada tahun lepas dan TVET di bawah MARA pula telah meningkat 98.4 peratus pada masa ini.
“MARA telah kordinasi dan kolaborasi sejak tahun lalu dan yang penting ialah pekerjaan kerana walaupun mereka gagal dan tidak mempunyai keputusan yang baik dalam akademik maka TVET adalah alternatif untuk mengantikan kepompong akademik yang tidak cemerlang bagi pelajar-pelajar ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat Ekplorasi TVET di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024.
Pada masa yang sama, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO harap parti ini akan terus menyantuni semua parti-parti di dalam Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
“Terdapat 25 peratus daripada 66,000 pengundi di DUN Mahkota terdiri daripada pengundi-pengundi keturunan Cina. UMNO menyantuni semua parti-parti di dalam komponen Kerajaan Perpaduan untuk memobilisasikan jentera yang ada dan untuk itu terdapat segmen tertentu yang kita berikan kepada Dap dan ada segmen yang lain kita berikan kepada MCA.
“Begitu juga terdapat lebih kurang 8,000 pengundi-pengundi India dan ini kita serak kepada MIC untuk menggerakkan jenteranya bersama-sama dengan kepimpinan dan juga ahli-ahli India di dalam PKR. Kita benar-benar lakukan pendekatan ‘hybrid’ untuk PRK DUN Mahkota ini,” katanya lagi. – UMNO Online