Tabung Pendidikan Melayu Realisasi Impian Ke Menara Gading

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Tabung Pendidikan Melayu dilihat mampu untuk merealisasikan impian pelajar cemerlang dan tidak berkemampuan melanjutkan pengajian ke menara gading.

Urus Setia Pendidikan Tabung Melayu, Nurul Syafiqah Hamzah, 28, berkata, Tabung Pendidikan Melayu yang dilancarkan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tahun lepas ini telah memulakan kutipan sejak ia dilancarkan.

“Tabung ini mula dilancarkan pada PAU tahun lepas. Selepas dilancarkan kita telah memulakan kutipan dari para pemimpin dan perwakilan. Kutipan sumbangan ini dibuat semasa dan selepas PAU berlangsung.

“Pada tahun ini alhamdulilah Pengerusi Sekretariat Pendidikan dan Penyelidikan UMNO Malaysia, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi ada memberi sumbangan di setiap bahagian UMNO seluruh Malaysia. Setiap bahagian menerima RM5,000.

“Ada 191 bahagian dan sumbangan tersebut adalah hasil daripada sumbangan dana Tabung Pendidikan Melayu ini sejak tahun lepas sehingga sebelum PAU 2024 bermula,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam pada itu, beliau menyeru para pemimpin dan seluruh perwakilan untuk memberikan sumbangan ke Tabung Pendidikan Melayu bagi merealisasikan impian anak-anak bangsa melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Bukan semua yang layak (untuk memohon) sebab ada syarat-syarat ditetapkan. Seperti yang saya tahu antaranya ialah keluarga berpendapatan rendah… memperoleh keputusan cemerlang tapi tidak berkemampuan untuk lanjutkan pelajaran. Ada lagi syarat-syarat lain perlu ditepati untuk mendapat bantuan dari Tabung Pendidikan Melayu ini.

“Saya memohon kita semua… para pemimpin termasuk menteri-menteri dan perwakilan untuk menderma ke Tabung Pendidikan Melayu. Ini semua adalah untuk membantu anak-anak Melayu kita agar impian mereka terus ke menara gading tercapai,” katanya lagi.

Pada 7 Jun 2023 yang lalu UMNO telah melancarkan Tabung Pendidikan Melayu bertujuan membantu pelajar yang memerlukan untuk melanjutkan pelajaran.

Pelancarannya disempurnakan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa Taklimat Presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Bantuan yang akan disalurkan menerusi tabung berkenaan tidak hanya terhad kepada ahli UMNO malah terbuka kepada mana-mana pelajar Melayu dan bumiputera yang memerlukan. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit