Solidariti Perwakilan UMNO Sabah, Matlamat Menang PRN – Bung Moktar

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sekali lagi meluahkan harapan dan ikrar kepada akar umbi negeri ini bagi melaksanakan gerak kerja terbaik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kelak.

Beliau berkata kemenangan tersebut penting bagi memastikan UMNO/Barisan Nasional (BN) dominan sekaligus dapat mentadbir negeri ini.

“Jadi matlamat kita cuma satu BN perlu menang dan memerintah Sabah.

“Oleh itu peranan kita sebagai ketua bahagian, timbalan, naib, ketua Wanita, Pemuda dan Puteri kembali ke kawasan masing-masing perkukuh jentera kita.

“Kita mahu bertanding kerana mahu menang, jadi dominan dan menjadi kerajaan,” katanya.

Bung Moktar berkata demikian pada sesi pertemuannya bersama perwakilan Sabah bersempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan dalam pada itu meluahkan kesyukuran dengan momentum terbaik diperlihat perwakilan sejak pertama PAU bermula.

“Semenjak hari pertama perwakilan wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri saya lihat alhamdulillah kita menampakkan momentum yang baik.

“Sudah tentunya isu yang tidak ditinggalkanan untuk dibahas ialah isu PRN Sabah,” ujar beliau.

Dalam pada itu Bung dilihat mengambil kesempatan untuk beramah mesra dan bergambar dengan perwakilan yang hadir sebagai kenang-kenangan sebelum PAU 2024 yang akan melabuhkan tirainya hari ini. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit