Presiden UMNO Mampu Kembalikan Kekuatan Dan Kesepaduan Orang Melayu – Aminuddin Omar

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Perjuangan UMNO yang telah dilalui oleh para pemimpin terdahulu membuktikan kecekalan mereka menghadapi pancaroba dan sebagainya.

Wakil UMNO Negeri Kedah, Datuk Aminuddin Omar berkata perjuangan mereka bukanlah seperti keadaan hari ini, mereka menempuh segala rintangan dan ranjau menentang penjajah.

Namun begitu katanya, bagi perjuangan hari ini hanya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berkemampuan untuk mengembalikan kekuatan dan kesepaduan orang Melayu.

“Sampai bila kita ingin melihat kedudukan orang Melayu di dalam negara ini seperti keadaan sekarang. Ianya tidak menguntungkan nasib bangsa kita dan amat yakin bahawa susuk tubuh insan yang bernama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkemampuan melaksanakan agenda tersebut bagi mengembalikan kekuatan dan kesepaduan orang Melayu di Malaysia.

“Kita juga sedar kepayahan mereka ketika itu, di dada mereka ada kekentalan jiwa, di dada mereka satu hasrat, di dada mereka ada satu semangat, di dada mereka ada roh perjuangan yang sangat ikhlas tetapi hari ini kita sudah melihat perpecahan orang Melayu.

“Perpecahan akan terus berlaku dan perlu diambil langkah sebetulnya untuk memastikan kuasa politik orang Melayu tidak dipecahbelahkan oleh mana-mana pihak. Tindakan yang tuntas perlulah dilakukan dengan segera. UMNO sekali lagi perlu menjadi tonggak dan penggerak utama dalam menyatupadukan orang Melayu di tanah air ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) di sini.

Mengulas lanjut, Aminuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu merayu agar kaum Melayu tidak lagi bercakaran sesama sendiri.

“Saya merayu kepada Presiden UMNO, ambillah tanggungjawab yang besar ini demi anak bangsa, agama dan tanah air tercinta ini. Kita tidak rela lagi melihat keadaan orang Melayu hari ini yang sentiasa bercakaran sesama sendiri yang akhirnya akan merugikan bangsa sendiri,” katanya lagi.

Pada masa yang sama Aminuddin harap UMNO/Barisan Nasional (BN) dapat bangkit semula dan mendominasi kerusi dalam pilihan raya akan datang.

“UMNO/BN perlu bangkit semula dan mendominasi kerusi dalam pilihan raya akan datang dengan penyusunan gerak kerja lebih awal. Ini bukan sahaja UMNO/BN malah perpaduan kerjasama BN- PH diperingkat negeri juga perlu memperlihatkan ‘solid opposition front’ kepada rakyat.”

Justeru katanya lagi, kerjasama BN-PH haruslah dimurnikan sebaik mungkin kerana masih banyak ruang dan peluang untuk mulakan kerja secepat mungkin supaya aspirasi memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 tidak lagi mustahil. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit