Presiden Seru Ahli UMNO Perkukuhkan Parti, Baiki Kelemahan Di Semua Peringkat

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru ahli UMNO harus memperkukuhkan parti di semua peringkat dan bersama berusaha memperbaiki kelemahan.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menekankan bahawa parti harus melakukan perubahan dan menyantuni semua pengundi malah tidak ketinggalan juga mesti menguasai teknologi dalam komunikasi politik.

“Perubahan dan pendekatan mesti dilakukan terutamanya dalam mendakap teknologi baharu komunikasi politik, mendekati dan menyantuni terutamanya pengundi di kalangan pengundi muda dengan melakukan pendekatan baharu yang selama ini terlepas pandang dan tidak memberikan fokus.

“Kita harus melakukan satu muhasabah iaitu selama 62 tahun Barisan Nasional (BN) menjadi tulang belakang kerajaan di negara ini, namun tidak sempurna dan kita bukannya bersifat ‘maksum’ maka perlu dilihat kelemahan-kelemahan dan harus diperbaiki.

“Pengundi-pengundi baharu merangkumkan kerjasama Pemuda dan Puteri UMNO supaya memberikan fokus gerak kerja yang dilakukan di peringkat Parlimen, negeri serta lokaliti untuk keselarasan yang boleh dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) petang tadi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata portfolio yang dipegang oleh menteri dan timbalan menteri UMNO dibuat penyelarasan dengan agenda parti untuk dibuat dasar dalam kerajaan.

“Kita ada 13 portfolio yang dilakukan oleh wakil-wakil kita dalam Jemaah Menteri dan timbalan menteri. Ini dilakukan penyelarasan dengan agenda parti sebagai dasar dalam kerajaan yang akan dilaksanakan tanpa meninggalkan rakan-rakan lain dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kami ambil pendekatan yang berbeza biarpun UMNO adalah parti Melayu dan Islam serta bangsa dan agama tetapi yang lain tidak akan pernah terpinggir. Ini akan dikekalkan, malah kita tahu bahawa rakan-rakan di Sabah dan Sarawak juga disantuni dan diseimbangkan serta komited dalam menterjemahkan dalam perlaksanaan,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit