Pegang Amanat Presiden, Kini Fokus Kukuhkan UMNO – Mohd Zaidy

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata fokus UMNO kini adalah untuk pemerkasaan parti dengan menghadapi pelbagai cabaran di era digital untuk terus pastikan UMNO terus kekal relevan.

Katanya, ucapan dasar Presiden semalam adalah seruan untuk semua, satu panggilan yang jelas dan lantang bahawa UMNO tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan dan akan terus menjadi benteng kukuh bagi agama Islam, bangsa Melayu dan tanah air.

“Amanat Presiden semasa menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 menunjukkan bahawa beliau adalah seorang pemikir dan strategis yang hebat.

“Sudah semestinya, dalam keadaan politik negara yang semakin dinamik, UMNO memerlukan pemimpin yang mampu menjamin masa depan parti dengan lebih baik.

“Penjelasan yang terperinci mengenai mengapa UMNO memilih membentuk Kerajaan Perpaduan jelas menunjukkan bahawa beliau sebenarnya meletakkan kebaikan untuk parti di depan berbanding untuk diri sendiri,” katanya sebagai mengulas ucapan dasar sempena PAU 2024.

Tegas Mohd Zaidy, apa pun, UMNO tetap dengan perjuangannya untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara sebagaimana Presiden sendiri dengan lantangnya memberi jaminan mengenai komitmen ini.

“Justeru, baik pemimpin atasan mahupun pemimpin akar umbi parti perlulah memberi fokus untuk mengembalikan kepercayaan rakyat khususnya orang Melayu kepada UMNO.

“Peganglah amanat Presiden kita ini dan janganlah pula kita terikut-ikut mahupun terpengaruh dengan politik kebencian pihak lawan.

“Dengan prinsip-prinsip yang telah digariskan, kita akan terus memperkukuhkan parti, memastikan bahawa setiap ahli bergerak seiring dengan visi besar yang telah diletakkan oleh kepimpinan tertinggi.

“Harus diingat bahawa dalam dunia politik yang sentiasa berubah, kita hanya boleh bertahan jika kita teguh pada prinsip dan bersedia untuk menghadapi segala cabaran dengan hati yang cekal dan semangat yang membara.”

Ujarnya, kesetiaan kepada parti, kepada perjuangan, dan kepada rakyat adalah kunci untuk memastikan UMNO terus relevan dan dihormati sebagai peneraju negara.

“Ingatlah, perjuangan kita bukan untuk diri sendiri, tetapi untuk masa depan generasi akan datang.

“Genggamlah erat amanah ini dan dengan semangat perjuangan yang berkobar-kobar, sama-sama kita pastikan bahawa UMNO akan terus menerajui, mendepani dan memacu Malaysia ke arah masa depan yang gemilang,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit