Kesepaduan Kunci Utama Kemenangan Di Nenggiri, Jadi Panduan Untuk Mahkota

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Kesepaduan yang ditunjukkan oleh UMNO Bahagian Gua Musang di bawah kepimpinan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah kunci utama Barisan Nasional (BN) beroleh kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Ujar Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, apabila parti mencalonkan Ketua Pemuda UMNO Negeri Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie sebagai calon BN, semua pihak di bahagian itu bersetuju dan berusaha keras untuk menggapai kemenangan.

“Alhamdulillah punca kemenangan macam-macam. Tetapi punca kemenangan yang saya lihat di Gua Musang, kerana kepaduan di bahagian itu sendiri di bawah pimpinan Tengku Razaleigh.

“Tiada yang berbunyi… bila nama Awie keluar semua setuju dan semua bekerja. Itu penting kerana orang luar melihat kita sebagai satu parti kalau dia nak sokong mestilah parti yang padu, parti yang tidak berbalah-balah dan parti yang tidak bersengketa,” katanya ketika sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Begitu juga katanya yang semakin terserlah perpaduan dalam UMNO kini di bawah Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Alhamdulillah, dua tiga tahun kebelakangan ini di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Presiden kita dah nampak, merasai bagaimana parti kita dah mula rasa tenteram, aman sejahtera.

“Orang dah mula melihat kita semula. Orang Melayu memang nak balik kepada kita tetapi terpulanglah kepada kita untuk menggamit mereka semula dan kita mesti menghantar mesej-mesej yang baik-baik, menggembirakan hati orang, jangan bercakap yang menyakitkan hati orang,” kata Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN.

Tambah Mohamad lagi, di samping mempunyai semangat yang sama, bagi menghadapi PRK DUN Mahkota, semua pihak tidak boleh merasa selesa dengan kemenangan besar yang diperolehi DUN tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Kita akan bertemu semula di Mahkota. Mahkota menunggu kita. Betul kita menang (majoriti) lima ribu lebih pada PRN yang lalu, tetapi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum (PRU-15) prestasi di situ (Mahkota) tidak membanggakan.

“Kita kena berhati-hati jangan ingat menang lima ribu kita boleh menang senang-senang. Jangan ingat menang di Nenggiri kita boleh menang di Mahkota. Padangnya lain, belalangnya pun lain, cara beraksi pun lain,” katanya yang menyeru semua jentera dari kawasan lain turun berkempen dan bekerja keras bagi memastikan kemenangan parti.

Menyentuh mengenai Perhimpunan Agung UMNO (PAU), Mohamad berkata ia adalah tempat untuk ahli memacu parti ke depan, mencungkil dasar dan tempat untuk memastikan parti bangkit.

Mohamad juga berkata ucapan dasar Presiden yang padat, penuh dengan nasihat dan juga hala tuju parti mesti dihadam serta dibawa balik oleh perwakilan ke kawasan untuk UMNO bangkit semula pada Pilihan Raya Umum Ke-16.

Seterusnya dalam ucapannya mengenai perkembangan semasa dunia, Mohamad yang juga Menteri Luar Negeri berkata Malaysia akan sentiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin.

“Malaysia akan terus bawa suara di segala pentas dunia, kita mendukung perjuangan rakyat Palestin sejak dari dulu lagi, sejak daripada negara Rejim Zionis Israel ditubuhkan 1948.

“Sejak itu kita menyuarakan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang kekejaman Rejim Zionis yang membunuh, membakar rumah dan menghalau rakyat Palestin dari tanah air mereka 75 tahun dulu,” tegasnya.

Manakala berhubung dengan kesatuan ekonomi yang terdiri daripada negara-negara Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan (South Africa) iaitu BRICS, Malaysia akan menganggotainya atas jemputan Brazil.

BRICS ujarnya adalah negara yang besar dari sudut perekonomian di mana Kadar Keluaran Negara Kasar (KDNK) mereka mewakili 37 peratus KDNK dunia.

Katanya lagi, pada tahun hadapan Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN dan memerlukan dukungan semua pihak agar dapat menjadi pengerusi yang berkesan, antaranya mampu menyelesaikan masalah Laut China Selatan, di Myanmar dan isu persempadanan laut di seluruh kawasan Asia Tenggara. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit