Kedinamikan Tidak Mengubah Hala Tuju UMNO – Johari

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Kedinamikan UMNO menyesuaikan parti dalam apa jua keadaan dan situasi politik langsung tidak mengubah hala tujunya, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani.

Ujarnya, orang Melayu pernah memerlukan UMNO pada satu ketika dahulu untuk menuntut kemerdekaan namun situasinya telah berubah pada masa kini.

“Cuma ada satu perkara yang saya nak lontarkan kepada para perwakilan sekalian. Betulkah Melayu perlu UMNO ataupun UMNO perlu Melayu? Saya bertanya ini kerana kemungkinan besar orang Melayu perlu UMNO waktu kita mula-mula merdeka.

“Selepas negara ini bangun, 1957 kita merdeka, UMNO ditubuhkan pada tahun 1946… sebelas tahun kita memperjuangkan kemerdekaan bukan kita dalam dewan ini, yang memperjuangkan ini semua tok nenek moyang kita.

“Kemudian kita dapat kemerdekaan 1957, kita membangunkan negara ini dan berkuasa selama 60 tahun. Saya percaya kalau dulu kita guna bahasa orang Melayu perlu UMNO, kalau tiada UMNO orang Melayu habis susah. Tetapi hari ini saya nak beritahu saya rasa UMNO perlukan orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), sebentar tadi.

Menurutnya, sekiranya UMNO mempunyai pemikiran bahawa mereka memerlukan orang Melayu, maka parti ini akan menjaga mereka sebaiknya dalam usaha untuk memperoleh semula sokongan.

“Kenapa saya cakap UMNO perlukan orang Melayu? Kerana dengan kita mempunyai pemikiran yang ini, barulah kita jaga orang Melayu ini dengan sebenar-benarnya. Sebab kita perlukan orang Melayu. Saya berkata begini sebab saya nak ambil statistik ini untuk kita tengok bersama-sama.

“Di Kelantan kita ada dua Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 45. Di Terengganu kita ada kosong daripada 36. Di Kedah kita ada kosong daripada 36. Di Perlis kita ada kosong daripada 15. Di Selangor kita ada dua daripada 36. Ini adalah kawasan-kawasan yang ramai Melayu. Kalau betul-betul Melayu perlukan UMNO, macam mana boleh jadi kosong?

“Saya nak tengok perkara daripada dalam. Secara peribadi saya perlukan UMNO dan orang Melayu. Jadi apabila kita membawa direction kita perlukan orang Melayu ini, kita akan jaga mereka,” katanya lagi.

Tambahnya, sekiranya UMNO masih menggunakan cara dan kaedah sama seperti dahulu, ia tidak akan dapat mengubah kedudukan parti ke tahap yang lebih baik.

“Tetapi kalau kita mendabik dada mengatakan bahawa orang Melayu perlukan UMNO… orang Melayu hari ini bukan calang-calang. Selepas 60 tahun kita bangunkan negara… selepas kita membangunkan ekonomi ini sampai satu peringkat yang kita panggil ‘ekonomi ubi kayu’ 1957, sekarang ini kita sudah mencecah RM1.5 trilion saiz ekonomi selama 60 tahun UMNO mentadbir negara. Tapi pada hari ini kita hilang kuasa.

“Saya juga nak tengok dinamik politik. Politik ini sangat dinamik. Selagi kita berpemikiran cara yang sama, strategi yang sama, ia tidak akan mengubah kita. Kerana politik ini berjalan mengikut dinamik yang berubah-ubah. Saya nak berkongsi bahawa UMNO sebenarnya sangat dinamik,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, kedinamikan UMNO masih lagi terserlah apabila menjalinkan kerjasama bersama seteru selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan parti masih lagi memegang prinsip sama.

“Pada tahun 1955 waktu kita bertanding bawah Perikatan, kita bawa bersama-sama MCA dan MIC sebab kita dinamik. Kita tidak bertanding di atas tiket UMNO. Kenapa kita bawa mereka kerana kita tahu untuk membangunkan negara ini kita tidak boleh sisihkan mana-mana rakyat yang ditinggalkan oleh penjajah.

“Pada 1974, apabila kita dapat bersama-sama dengan Sabah dan Sarawak, kita dah menyambut ulang tahun BN hampir 30 tahun. Kita juga dinamik, ‘embrace’ Sabah dan Sarawak. Hari ini, tahun 2022 lepas kita juga dinamik apabila tinggal 30 kerusi, kita bersama-sama PH. Tetapi dinamik ini tidak mengubah hala tuju UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit