Jangan Biarkan Politik Batil Mendapat Tempat Di Hati Masyarakat – Mohamed Khaled
KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengingatkan para pemimpin dan perwakilan untuk bekerja keras agar politik batil tidak mendapat tempat di hati rakyat.
Ujarnya, tiada sesiapa pun dari kalangan pemimpin parti akan membiarkan Melayu menjunam dan Islam terancam selagi hayat UMNO masih ada.
“Tiada apa yang perlu ditakutkan dan tiada siapa boleh menakut-nakutkan kita. Benar, jalan masa hadapan semakin mencabar. Banyak perkara yang sudah berubah. Pelbagai aspek kehidupan masa kini tidak sama dengan yang dihadapi oleh UMNO dahulu. Akan tetapi, bukankah kita juga parti yang mendewasa dan matang?
“Masakan dengan segala pengalaman dan pengetahuan yang kita miliki, kita boleh cepat melatah atau gemuruh? Atau masih lagi boleh dipengaruhi dengan omong-omong politik yang dangkal dan cetek? Masakan kita yang selama ini diberi kepercayaan mengurus parti ini, langsung tidak mempunyai pemikiran dan kebijaksanaan sehingga membiarkan kepentingan Melayu itu terbiar tanpa pembelaan?
“Tiada siapa dari kami (pemimpin) akan membiarkan Melayu menjunam dan Islam terancam. Tidak ada dan tidak akan kita benarkan itu berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), sebentar tadi.
Menurutnya, pelbagai instrumen yang menjadi ekosistem dalam melindungi orang Melayu, ada pada UMNO.
“Orang Melayu mesti ingat, bersama-sama dengan UMNO, ada pelbagai instrumen lain yang turut menjadi benteng penting dalam memelihara kepentingan dan hak bangsa Melayu. Kita ada Raja Berperlembagaan. Kita ada pelbagai institusi kerajaan yang hampir kesemuanya diketuai oleh orang Melayu. Kita ada penjawat awam… dan jangan lupa, kita ada Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara.
“Kesemua instrumen ini yang menjadi ekosistem dan benteng yang sangat kukuh dalam melindungi orang Melayu. Jadi, janganlah membiarkan politik batil, atau seperti yang diungkapkan oleh Timbalan Presiden sebagai politik toksik, mendapat tempat dalam masyarakat kita. Marilah berlumba-lumba dengan idea baik, niat betul dan kerja yang bersungguh-sungguh.
“Bukannya cercaan siapa lebih pedas, fitnah siapa yang lebih tular atau tohmahan siapa yang lebih besar. Janganlah kita membiarkan mana-mana pihak terus menjadikan agama sebagai modal politik yang ditunggang untuk menakut-nakutkan bangsa Melayu dengan imaginasi mengarut. Saya ingin seru dan tegaskan di pentas politik terbesar orang Melayu ini, bahawa UMNO mesti mengisytiharkan perang ke atas segala politik toksik dan batil,” katanya lagi.
Ujarnya, politik batil ini mampu melemahkan keyakinan bangsa, memecahbelahkan orang Melayu dan menyalahi ajaran Islam yang dipegang.
“Bangsa yang tidak yakin dengan diri sendiri akan menjadi bangsa lemah. Bangsa yang takut dan mudah ditakut-takutkan tidak akan memajukan dirinya. Hanya bangsa yakin, kuat pendiriannya akan menjadi bangsa yang unggul dan berketahanan.
“Saya ingin tegaskan, bahawa usaha membangun ketahanan bangsa Melayu pada masa ini mesti bersandar kepada kebolehsaingan. Tiada bangsa akan berjaya tanpa kebolehsaingan. Kita mesti menjadikan generasi Melayu itu lebih baik, kompetitif, berilmu dan global. Kita tidak lagi boleh menggunakan bangsa dan agama, sebagai senjata untuk memenangi persaingan. Sentimen sebegitu sudah tidak sesuai dengan Melayu dalam kurun ke-21.
“Kita mahukan Melayu yang bijaksana dan menjadi pencetus revolusi baharu bagi kemajuan industri, digital dan ekonomi Malaysia. Justeru, segala usaha mesti kita gembleng agar agenda mengarus perdanakan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kebolehsaingan bangsa Melayu disokong dengan bersungguh-sungguh. Bukan diambil mudah,” katanya lagi.
Di samping itu, beliau turut mengajak seluruh perwakilan dan rakyat Malaysia untuk mempertahankan kemerdekaan yang telah diperoleh hasil daripada usaha UMNO.
“UMNO tidak lagi boleh membiarkan pendidikan dan agenda meningkatkan kebolehsaingan orang Melayu menjadi hanya agenda kerajaan. Sebaliknya, UMNO atas kapasitinya sebagai sebuah parti, mesti menjadi sebahagian daripada perkongsian penting dengan kerajaan untuk memajukan pendidikan dan kebolehsaingan bangsa.
“Beberapa hari sahaja lagi negara akan menyambut ulang tahun kemerdekaan tanah air yang ke-67 tahun. Tidak ada peristiwa bersejarah negara yang lebih besar daripada kemerdekaan. Tidak ada sumbangan UMNO yang lebih besar melainkan ikhtiar parti ini, dalam mengusahakan kebebasan kita sebagai sebuah bangsa.
“Suka atau tidak, hakikatnya UMNO telah memberikan sebuah kedudukan, kemerdekaan dan kedaulatan tanah air kepada orang Melayu serta semua warga Malaysia. Maka, sewajarnya kita semua terus berusaha untuk memastikan kedudukan dan keindukan UMNO di tanah air yang dimerdekakannya ini terus dihormati selayaknya,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut menyeru para pemimpin dan perwakilan menanam azam untuk memperbaiki parti demi masa hadapan.
“Jadi, sempena sambutan kemerdekaan dan bulan kebangsaan ini saya menyeru, tanamlah azam dan tekad untuk kita memperbaiki serta melonjakkan UMNO dengan segala keunggulan. Malah, ambillah kesempatan yang ada untuk kita menitipkan doa dan ingatan paling tulus kepada semua pejuang bangsa yang telah bersama-sama membangunkan UMNO dan memerdekakan tanahair ini.
“Semoga perjuangan mereka diterima sebagai amalan soleh. Semoga azam dan tekad kita dalam meneruskan warisan perjuangan mereka, akan juga diterima sebagai amalan soleh, Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online