Isyarat Perang Sudah Jelas… UMNO Perlu ‘Perkasa Sabah, Makmurkan Rakyat’ – Raimie Unggi

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Isyarat perang sudah jelas maka UMNO Sabah perlu bergerak berdasarkan visi dan misi yang mantap iaitu berasaskan tekad ‘Perkasa Sabah, Memakmurkan Rakyat Sabah’.

Ketua UMNO Bahagian Tenom, Datuk Raimie Unggi berkata, UMNO Sabah tidak pernah gagal dalam melahirkan pemimpin meskipun parti ini dianggap sebagai tempat persinggahan.

“UMNO ini boleh dianggap rumah. Ada yang telah pergi selepas mendapat nikmat. Ada yang datang dan pergi sesuka hati. Ada yang tinggal kerana ingin berteduh sahaja dan menganggap ini rumah persinggahan demi kepentingan diri. Paling utama adalah ramai yang masih kekal kerana menganggap rumah ini adalah tempat terbaik.

“UMNO Sabah tidak pernah gagal dalam melahirkan pemimpin… yang berlalu biarlah berlalu. Namun satu ingatan kepada semua termasuk diri saya sendiri. Jika ingin pergi, maka pergilah tanpa menghina atau memberi bekas di tempat yang telah memberi makna kepada kehiduan kita.

“Kita perlu menerima qada’ dan qadar dalam kehidupan. Begitu juga UMNO Sabah, disebalik hampir terkubur, kita telah bangkit atas berkat semangat dan kesetiaan para pemimpin iaitu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin bersama 24 Ketua UMNO Bahagian yang ada sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perbahasan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 mewakili Negeri Sabah.

Menurutnya, UMNO Sabah menyahut seruan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu parti itu kembali dominan di negeri tersebut.

“Isyarat peperangan sudah jelas. UMNO Sabah perlu bergerak berdasarkan visi dan misi yang mantap iaitu berasaskan tekad ‘Perkasa Sabah, Memakmurkan Rakyat Sabah’. Sesungguhnya banyak perkara yang perlu dilaksanakan di negeri ini. Maka, UMNO Sabah menyahut cabaran ini.

“Terdengar dendangan ‘apa lagi mahu diberikan peluang kepada UMNO Sabah? Ada yang kata ‘kapal karam, kapal pecah, kapal berkarat’. Sindiran ini diungkap oleh mereka yang pernah menjadi pentadbir satu ketika dulu.

“Ironinya pemimpin UMNO Sabah yang mentadbir dulu majoritinya telah berpindah rumah lain dan tidak lagi bersama kami. UMNO Sabah kini telah berwajah, berinspirasi baharu. Percayalah barisan kepimpinan ini akan memimpin negeri dengan lebih baik,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkeyakinan bahawa UMNO Sabah masih berkeyakinan tinggi dapat terus membela negeri dan rakyat.

“Namun ada baiknya kita saling membantu. Justeru, dengan penuh rasa takzim kami meminta kepada yang duduk dalam barisan kabinet kerajaan persekutuan… bantulah kami, buat dan sampaikan suara kami, bahawa kami masih memerlukan keperluan kemudahan asas, air, api, jalan raya dan opsyen perhubungan lain.

“Sesungguhnya apa yang disuarakan ini bukan sahaja untuk UMNO Sabah. Ii juga adalah refleksi suara rakyat Sabah dan perlu terus dibela serta diperkasakan. Bukanlah tidak ada usaha kepada isu-isu tersebut selama ini, tetapi masih ada lompang perlu dibaiki.

“Saya yakin yang mempunyai kuasa dalam UMNO mampu membantu. Kami sedar dan tahu banyak usaha telah dilaksana dan masih dalam proses. Bantuan dalam hal ini diperlukan untuk kami kerana UMNO Sabah akan terus bekerja bagi membantu rakyat di Sabah,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit