Gunakan Perkongsian Kuasa Dengan Bijaksana Untuk Mantapkan UMNO – Nurulhidayah

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Exco Wanita UMNO Malaysia, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menyeru seluruh pemimpin dan perwakilan untuk menggunakan prinsip perkongsian kuasa dengan bijaksana terutamanya dalam usaha memantapkan parti.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk berkata, suara rakyat perlu dihormati dan dijunjung tinggi meskipun berlaku perubahan besar dalam landskap politik pada ketika ini.

“Kita telah menyaksikan perubahan besar landskap politik Malaysia dalam beberapa tahun terakhir. Dalam menghadapi tentangan dan peluang yang ada, kita semua bertanggungjawab untuk memastikan bahawa suara rakyat dihormati dan dijunjung tinggi.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan konsep demokrasi berparlimen, kita berpegang kepada prinsip berkongsi kuasa bersama-sama rakan kita dari pelbagai kaum sejak berpuluh tahun. Takdir telah membawa kita kepada satu fasa yang kita harus berkongsi kuasa dengan mereka yang pernah menjadi seteru.

“Secara peribadi ingin saya nyatakan bahawa, gunakanlah perkongsian kuasa ini dengan bijaksana. Kita manfaatkan dan sama-sama memantapkan parti UMNO ini dari dalam dan luar. Yakinlah bahawa UMNO tidak ‘melukut ditepi gantang’. Saya faham ianya bukan mudah tetapi ianya tidak mustahil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perbahasan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 mewakili Wanita UMNO.

Menurutnya, parti UMNO bukanlah milik sesiapa malah ia menjadi kepunyaan semua ahli termasuklah generasi akan datang.

“Parti UMNO bukan milik individu. Bukan milik ayah saya atau sesiapa pun. Ia milik kita semua… milik para perwakilan semua, anak, cucu-cicit kita dan semua orang Melayu termasuklah yang belum menjadi ahli dan masih menunggu untuk masuk semula dalam saf pejuang UMNO.

“Kesedaran dan rasa memiliki itu perlu, agar parti ini kita pertahankan bersama.
Siapa pun pemimpin tertinggi kita yang akan datang, saya yakin dengan semangat dan rasa kecintaan yang kita ada, terutamanya kekuatan daripada Wanita UMNO sendiri, UMNO pasti dipertahankan kerana UMNO bukan bahan dagangan sesiapa.

“Menyaksikan sendiri lelah, sakit dan segalanya yang ditanggung oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menjadikan UMNO kekal sebagai parti politik yang releven menjadikan ia penguat semangat, untuk kita semua sebagai pelapis didalam UMNO,” katanya lagi.

Ujarnya, ahli dan akar umbi UMNO memerlukan rakan dari kalangan dan kelompok yang setia untuk meneruskan perjuangan membela agama, bangsa dan tanah air.

“Bukan faktor kerana Ahmad Zahid Presiden UMNO, tetapi kerana kita juga merasa bertanggungjawab untuk bersama-sama ahli dan para perwakilan sekalian memperjuangkan nasib agama dan bangsa dalam parti keramat UMNO yang kita cintai ini.

“Bukan kita tidak pernah ‘go solo’ di zaman kepimpinan ‘bossku’. Apa yang ‘bossku’ tidak pernah beri? Segala macam peruntukan diberikan untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat serta jutaan ahli UMNO mendapat pelbagai manafaat. Bukan kita tidak pernah cuba bersama ‘membangun bersama pimpinan Islam’. Dewan Merdeka inilah yang menyaksikan satu ikatan Penyatuan Ummah termeteri.

“Tetapi, kita sebagai ahli UMNO memerlukan mereka dari kalangan dan kelompok yang setia, ikhlas untuk bersama sama memperjuangkan nasib bangsa, agama dan rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar para pemimpin parti mengambil pengajaran dari segala drama politik yang telah berlaku dan mengimplementasikannya di dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya berharap kita mengambil pengajaran daripada perhubungan politik kita dengan Pas. Terlalu banyak laungan UMDAP, zikir UMDAP oleh walaun-walaun di luar sana. Izinkan saya memperkatakan sedikit sahaja sekadar mengingatkan diri kita semua tentang apa yang telah berlaku.

“PPBM? Mereka mengiyakan apa yang Dap lakukan sehinggakan diluar kawalan meletakkan kepimpinan mereka yang kini sudah bersara sebagai ‘Menteri Kewayangan’ pada ketika itu. Apa yang terjadi ketika itu?

“Atas kesedaran daripada kesilapan kepimpinan yang lepas, daripada kegagalan mereka memerintah, kita percaya Kerajaan Perpaduan mengambil ibrah atau pengajaran, juga dengan kuasa dan ketentuan Allah, ia tidak berlaku di dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit