Fareezad Cadang Wujudkan Sekolah Politik Mahasiswa Untuk Hadapi Pemikiran Anti Perlembagaan

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Wakil Mahasiswa Muhammad Fareezad Khairuddin berkata UMNO perlu mewujudkan sekolah politik untuk mahasiswa agar dapat mengimbangi gerakan-gerakan yang bersifat anti perlembagaan di kampus.

Kata pelajar jurusan undang-undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, gerakan seperti itu merupakan satu ancaman untuk masa depan negara.

“Apa ancaman masa hadapan kita? Dalam kalangan mahasiswa kini terdedah dengan fenomena the ‘mixing of ideologies’ atau idealogi yang bercampur dalam pemikiran anak muda kita. Ia akan menyebabkan anak muda hidup dalam doktrinisasi yang salah, mengajar untuk melawan perkara-perkara yang tidak betul.

“Apabila pindaan AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) telahpun dibuat memberikan ruang kepada mahasiswa untuk berpolitik, ia juga memberi ruang kepada ancaman baru sebagaimana wujud gerakan, NGO (badan bukan kerajaan) yang kononnya nak buat kelas politik, kelas demokrasi, kelas perlembagaan tetapi kelas-kelas inilah yang mengajar dan menghasut anak muda untuk benci kepada perlembagaan,” katanya dalam sesi perbahasan Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (WTC KL), di sini hari ini.

Justeru katanya, UMNO mesti muncul sebagai sekolah politik di kampus.

“Sekolah politik yang kita maksudkan adalah satu alma mater yang mengajar soal jatuh bangun, susah payah, yang meninjau pandangan dari bawah. UMNO mesti menjadi sekolah politik supaya apa sahaja isu semasa, kekeliruan yang timbul dari anak muda UMNO boleh mengambil tanggungjawab untuk mengajar mengikut acuan sebenar Malaysia.

“Apa acuan kita? Kita ada perlembagaan, ada Raja-Raja, ada agama Islam, hak keistmewaan Melayu dan Bumiputera. Apabila UMNO berjaya menjadikan dirinya sekolah politik, UMNO tidak akan ketandusan pemimpin.

“Sekolah politik yang dimaksudkan kita mengajar erti perjuangan yang mempunyai pengetahuan kukuh soal perlembagaan, yang menjadi aktivis dan yang memegang falsafah “This country is belong to us’, ‘The ups and downs of this beloved country would really depend on us’,” katanya yang berharap UMNO memberi kepercayaan kepada UMNOSiswa untuk membangunkan sekolah politik ini.

Dalam perbahasannya juga, Fareezad menyentuh bahawa UMNO terbukti terkenal dengan jasa-jasa membangunkan dan memakmurkan negara.

Walaupun begitu katanya, UMNO serta perlu sentiasa terkehadapan dalam menangani isu-isu yang membelenggu orang Melayu dan Islam khususnya.

“Bila kita tak berjaya memenangi isu rakyat, akhirnya rakyat buat keputusan kalau pemimpin UMNO tak nak jaga kita biarlah kita jaga kita… sekarang ini di TikTok khususnya sudah ada gerakan yang menjadi hero kepada rakyat, contohnya Misi Rakyat.

“Gerakan yang merasakan tidak lagi boleh berpaut kepada parti politik. Akhirnya ia merenggangkan hubungan parti dengan akar umbi,” katanya.

Justeru gesanya, pemimpin UMNO dan mahasiswa mesti bersikap responsif dengan isu semasa dan dasar polisi anak muda.

Selain itu, wakil mahasiswa itu juga mencadangkan kepada UMNO agar dapat membuka kelas silat secara percuma kepada anak-anak muda di ruangan yang sewajarnya di WTC KL agar warisan kebudayaan Melayu terus terpelihara. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit