Cadang Naik Had Umur Puteri, Kerjasama Tarik Anak Muda Sertai UMNO – Hasyyati

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Exco Puteri Malaysia, Siti Nor Hasyyati Abd Rahman memohon agar had umur Pergerakan Puteri untuk dinaikkan daripada 35 tahun kepada 40 tahun.

Beliau berkata ini kerana keberadaan mereka dalam parti bukan semata-mata kerana jawatan namun ingin berbakti dan memastikan kelangsungan sayap Puteri UMNO.

“Apakah signifikannya rayuan kami ini wahai ayahanda-ayahanda dan bonda-bonda sekalian? Bayangkan, sebahagian yang terlalu besar di kalangan kami, 80 peratus akan meninggalkan Puteri walau hanya sempat memimpin selama sepenggal.

“Sedar atau tidak, 153 Ketua-ketua Puteri Bahagian akan melewati tahap usia yang dibenarkan iaitu 35 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 sebagai pembahasa mewakili Pergerakan Puteri UMNO bagu membawa usul ucapan dasar Presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Rentetan itu Hasyyati yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Setiawangsa mencadangkan pada pemilihan yang akan datang diadakan satu sistem kuota dalam memilih barisan kepimpinan Puteri di semua peringkat.

Menurut beliau, ini kerana pemegang jawatan sekarang yang berumur lebih 35 tahun boleh menawarkan diri bertanding sekali lagi selagi tidak mencecah umur 40 tahun dan calon yang pertama kali menawarkan khidmat mestilah berumur di bawah 35 tahun.

Manakala di peringkat Jawatankuasa, 50 peratus daripada barisan kepimpinan adalah di bawah umur 35 tahun dan jawatan-jawatan lantikan mesti terdiri daripada mereka yang berumur di bawah 35 tahun.

“Kaedah ini penting bagi memastikan kelangsungan pimpinan dan juga yang paling penting, pemimpin yang akan berhadapan dengan PRU akan datang terdiri daripada mereka yang telah melalui proses kematangan dan juga memahami selok belok menguruskan perjalanan pilihan raya,” ujar beliau.

Hasyyati dalam pada itu turut berharap setiap daripada akar umbi mengambil tanggungjawab bersama demi kelangsungan parti, supaya memberi kesedaran kepada anak-anak mereka untuk menjadi ahli Puteri dan Pemuda.

“Bukankah lebih mudah ibu bapa yang meminta anak-anak, daripada kami berkempen kepada anak-anak? Bayangkan, kita mempunyai keahlian UMNO lebih 3 juta.

“Jika kita semua berkempen untuk Keluargaku ahli UMNO, angka ini pasti akan naik mendadak dan alangkah beruntungnya kita jika ia diterjemahkan dalam bentuk undi kepada Barisan Nasional sewaktu pilihan raya,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.