Bung Moktar Ajak Ahli Sahut Cabaran Presiden Kembali Dominankan UMNO Di Sabah

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Pemimpin serta ahli UMNO di Sabah perlu menyahut cabaran Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan UMNO Sabah akan kembali dominan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, harapan Presiden parti itu perlu disahut dengan semangat, pendekatan serta gerak kerja yang lebih mantap dan konsisten.

“Semangat tanpa usaha sudah tentu menjadikan harapan untuk kembali dominan tidak mampu direalisasikan, oleh itu pemimpin dan ahli UMNO di Sabah perlu menyahut cabaran tersebut dengan satu semangat dan budaya kerja berpasukan bagi memastikan kejayaan dapat dicapai” katanya ketika mengulas ucapan dasar Presiden UMNO semalam.

Menurut Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, pada PRN dan PRU akan datang UMNO akan merampas kembali kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebelum ini dimenangi oleh UMNO tetapi ditinggalkan oleh Adun dan Ahli Parlimen dengan menyertai parti lain kerana mengejar kedudukan peribadi.

“UMNO pernah dominan malah menjadi penyumbang terbesar kepada pembentukan kerajaan negeri selepas PRN-16, namun jasa serta sumbangan besar UMNO tidak dihargai walaupun menjadi sebahagian dari kerajaan negeri yang hanya seperti melukut di tepi gantang.

“Lebih memeritkan lagi ada pemimpin UMNO Sabah yang mengamalkan budaya adu domba sehingga menyebabkan UMNO disingkirkan dari kerajaan negeri yang dikaitkan dengan langkah ‘Kinabalu” yang sehingga kini gagal dibuktikan kerana tidak ada akuan bersumpah (SD) yang diserahkan kepada Tuan Yang di-Pertua Negeri,” katanya.

Pengerusi BN Sabah menambah, keutamaan UMNO ketika ini adalah menyusun jentera serta memperkukuh penyatuan dalam kalangan ahli di semua peringkat termasuk akar umbi supaya kekuatan UMNO berjaya dibina semula.

Sehubungan dengan itu, Bung mengesa pemimpin dan ahli UMNO di negeri ini agar mencipta sentimen, naratif dan aura positif untuk mendekati hati rakyat serta meraih sokongan mereka.

Bung berkata, pemimpin UMNO juga perlu menjadi peneraju dalam pemikiran rakyat bagi mengekang fitnah yang dilemparkan oleh pihak tertentu terhadap parti keramat itu dengan menguasai penggunaan media sosial.

Beliau berkata, pendekatan itu adalah acuan penting yang perlu dilaksana bagi memastikan kelangsungan parti sekali gus kekal menjadi pilihan diera ini, persepsi lebih dipercayai daripada realiti.

Menurut Bung UMNO mesti sesuaikan diri dalam persekitaran politik dengan mengekang fitnah yang cukup dahsyat di media sosial dan mengubah mod daripada defensif kepada ofensif.

“Kita harus cipta sentimen, naratif dan aura positif untuk kita dekati hati rakyat. Saya mahu lebih ramai pemimpin UMNO bermula dari peringkat bahagian cawangan serta sayap-sayap UMNO mula meneroka pendekatan baharu dan tidak lagi berada di tampuk lama,” katanya.

Walaupun begitu, Bung turut mengingatkan agar keadah tradisi bertemu rakyat secara bersemuka perlu diteruskan bagi memastikan ikatan lebih mesra dan akrab antara pemimpin parti terjalin erat.

“Pendekatan tradisi perlu dikekalkan walaupun kini menggunakan kaedah baharu seperti Facebook, Tiktok dan sebagainya dimanfaatkan bukan sahaja untuk menyebar luas program parti dan pemimpin tetapi perlu digunakan untuk mengangkat isu rakyat selain dijadikan medium untuk mempertahankan provokasi fintah yang dibuat parti lawan bagi mengekang persepsi negatif rakyat kepada parti jika ianya dibiarkan begitu sahaja”

Dalam perkembangan yang sama Bung mengingatkan pemimpin dan ahli parti jangan meninggalkan saf UMNO bila diuji.

“Yang penting jangan ada khianat bila diuji oleh lawan, jangan ada rambang mata kerana ditawar jawatan, jangan lari daripada perjuangan. UMNO tetap menjadi wadah perjuangan kita pada hari ini. Kita mesti mempunyai jati diri perjuangan,” jelas Bung lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Wahid

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit