Beban Ekonomi, Kehidupan Rakyat Bawa Kesan Kepada Kesihatan Mental – UMNO WP

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – UMNO Wilayah Persekutuan membangkitkan permasalahan kehidupan dan beban ekonomi yang melingkari rakyat di bandar khususnya yang tinggal di Bandaraya Kuala Lumpur.

Wakilnya, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata, semua permasalahan yang timbul itu akhirnya akan memberi kesan kepada kesihatan mental dan emosi dalam institusi keluarga.

“Bercakap soal kos sara hidup, memang kita acapkali menjadikan bualan topik semasa yang melibatkan bukan hanya B40 tetapi juga M40 dan T20. Ada keluarga dalam golongan terbabit juga yang perlu bekerja dua, tiga pekerjaan sehari, dengan nilai pendapatan yang masih tak setimpal dengan harga barang keperluan di pasaran.

“Majoriti pendapatan yang diterima digunakan untuk penyaraan keluarga termasuk kos kos asas kehidupan. Sungguh pun ada kawalan harga, tetapi ia hanya berkaitan beberapa bahan makanan dan perkhidmatan. Sememangnya hal melibatkan kawalan harga juga perlu dilihat dari pelbagai sudut termasuk penguatkuasaan yang lebih efektif,” kata Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang itu dalam sesi perbahasan Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, petang Jumaat.

Tambahnya lagi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) boleh berperanan lebih proaktif dan membantu mewujudkan indikator bukan sahaja untuk seluruh negara tetapi hingga ke lokaliti agar apa jua tindakan serta bantuan dapat diushakan lebih efektif.

“Contohnya di kawasan luar bandar kos bahan makanan masih di dalam lingkungan mampu tetapi kos-kos lain seperti tuisyen atau perubatan memerlukan intervensi kerajaan. Usaha ini sememangnya adalah usaha yang berterusan dan diperjuangkan oleh UMNO sejak sekian lama,” katanya.

Jelasnya lagi, kos sara hidup yang tinggi membawa kepada tekanan yang menyumbang peningkatan kesihatan mental atau ‘mental health’ di kalangan masyarakat.

“Hal berkaitan ‘stress’ ini bukanlah perkara remeh kerana ia akan memberi kesan kepada permasalahan dalam institusi keluarga.

“Hasil saringan kesihatan mental 2022 ke atas 336,900 individu di seluruh negara yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan mendapati, 70 peratus daripada penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur paling terkesan dengan kemurungan dan kebimbangan akibat beberapa faktor termasuk kos sara hidup yang tinggi,” katanya.

Seterusnya, Tengku Azman juga membangkitkan isu penawaran rumah kos rendah dan mampu milik yang masih tidak dapat memenuhi permintaan penduduk bandaraya.

“Meskipun adanya program-program perumahan kerajaan seperti Perumahan Awam Kos Rendah Bersepadu (PAKRB), Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR), Program Perumahan Rakyat (PPR), RUMAWIP dan projek pembangunan Kejiranan MADANI namun sehingga ke hari ini, masih ramai rakyat kita yang masih tidak mampu memiliki rumah.

“Rata-rata rakyat terutamanya di kawasan bandar menghadapi kesukaran untuk membeli rumah kos rendah akibat daripada pelbagai masalah dan kerumitan, ada kerenah birokrasi dan ada berbagai-bagai sekatan atau syarat-sayarat yang perlu dipenuhi dalam penempatan perumahan.

“Sebenarnya, keresahan sosial sebegini boleh mengundang kepada kemarahan dalam masyarakat bandar, memandangkan kerajaan dilihat gagal memahami, menyelami dan menangani keperluan perumahan kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana,” ujarnya.

Dalam perbahasannya itu juga, UMNO Wilayah Persekutuan mengusulkan kepada kerajaan agar dapat mewartakan Jalan Tuanku Abdul Rahman sebagai zon khas ekonomi kebudayaan, kesenian dan warisan Bumiputera. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.