Wanita, Pemuda, Puteri UMNO Perlu Saling Melengkapi – Pembahas Pemuda Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Wakil Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Suhaimizan Bizar berpandangan dalam perjalanan menuju Pilihan Raya Umum ke-16, (PRU-16), semua pihak perlu teliti untuk sama-sama menyusun segala strategi gerak kerja parti agar gerak langkah kelak lebih kemas serta tersusun.

Menurut beliau jika ada sebarang dasar, SOP atau sistem baharu yang ingin digunakan, laksanakan di peringkat awal dengan berkesan dan bukan pada saat akhir yang mengundang malapetaka.

Post mortem dan perbincangan yang dilakukan sebelum ini perlulah diambil tindakan. Bukanlah sekadar retorik dan perbincangan kosong. Kita perlu sedar tiada masa lagi untuk ‘berdondang sayang’ dan ‘honeymoon’ ke bulan bintang kerana genderang perang telah dicanang dan semboyan telahpun kedengaran.

“Dahulu kepimpinan kita sangat dominan namun sekarang lebih banyak mengharap ihsan. Kebersamaan adalah penentu yang menjadi pencapaian parti keramat kita. Kita semua adalah agen perubahan yang mencorak pelan strategik yang lebih mampan dalam memastikan pengurusan penyampaian perkhidmatan yang tangkas dan berprestasi cemerlang agar UMNO terus diterima dan relevan sepanjang zaman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, di sini.

Beliau seterusnya berkata semua pihak dan kepimpinan perlu bergerak bersama dalam apa jua keadaan dan akur setiap keputusan.

“Pemimpin yang bijaksana tidak melakukan perubahan secara drastik tetapi memperhalusi terlebih dahulu ruang-ruang penambahbaikan yang perlu diberi keutamaan.

“Kebersamaan perlu disusun di peringkat cawangan, bahagian, negeri sehinggalah keputusan tertinggi. Jangan ada lagi yang bergerak secara solo. Tiga sayap utama parti perlu bekerjasama dan saling lengkap melengkapi,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit