UMNO Amat Signifikan Stabilkan Politik Negara – SUA

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa UMNO memainkan peranan yang amat signifikan dalam menstabilkan politik negara selama 20 bulan bersama Kerajaan Perpaduan.

Katanya, di bawah pimpinan Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri yang mengepalai barisan menteri dan timbalan menteri UMNO, parti ini berperanan mengisi peluang berkerajaan dengan keberhasilan dan prestasi.

“Menelusuri 20 bulan kita dalam Kerajaan Perpaduan, UMNO memainkan peranan yang amat signifikan dalam menstabilkan politik dan mencetuskan dasar-dasar awam yang bermanfaat kepada rakyat.

“Masa semakin suntuk. Kita hanya berbaki tiga tahun, tiga bulan dan 27 hari, sebelum Parlimen terbubar secara sendiri. Mungkin berlaku lebih awal lagi. Sebelum itu, jangan lupa kita bakal menghadapi PRK (Pilihan Raya Kecil) di Mahkota dan disusuli PRN (Pilihan Raya Negeri) di empat buah negeri. Sudah tentu ia menagih kudrat, kekuatan segala sumber dan disiplin parti yang tinggi.

“Hakikatnya, kita telah diuji dan akan terus diuji, namun Allah masih menyayangi, yakinlah di hujung terowong ada sinar yang bakal menyinari, untuk mereka yang setia, tabah dan cekal hati,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Laporan Tahunan Setiausaha Agung UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sebentar tadi.

Dr Asyraf Wajdi juga memaklumkan bahawa ikhtiar UMNO untuk membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak pernah terhenti.

Menurutnya, sebanyak 171 bahagian telah menghantar usul ketika bersidang di peringkat bahagian dan 72 daripadanya memohon agar keadilan serta pengampunan penuh kepada Najib terus diperjuangkan.

“Suka saya melaporkan jumlah pertambahan ahli UMNO setakat 31 Julai 2024 adalah 46,055 orang menjadikan jumlah terkini ahli UMNO sudah mencecah 3,477,445 orang. Syabas dan tahniah diucapkan kepada 191 Bahagian yang telah selamat melaksanakan Mesyuarat Perwakilan UMNO di Bahagian masing-masing. Mengikut rekod, sejumlah 17,988 Cawangan telah selamat bersidang.

“Hasil daripada mesyuarat perwakilan bahagian, sebanyak 171 bahagian telah menghantar usul ke Ibu Pejabat. Usul tertinggi yang diperolehi daripada 72 bahagian adalah untuk kita menuntut keadilan dan pengampunan penuh buat Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Sesungguhnya, selagi ‘Bossku’ terperangkap di sebalik tirai besi, suara dan ikhtiar UMNO tidak akan pernah terhenti.

“Maka, berilah kepercayaan dan keyakinan penuh kepada pimpinan tertinggi. Justeru, saya mohon untuk kita terus berdoa, semoga Allah SWT melembutkan hati dan membukakan jalan agar pembebasan beliau ini berlaku akhirnya mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Hakikatnya kuasa bukan di tangan kita, tetapi iman kita tetap meyakini bahawa Allahlah pemilik hati-hati manusia,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau melahirkan rasa kagum dengan keterujaan para perwakilan sepanjang persidangan sayap-sayap, semalam.

“Tidak lengkap pelaporan saya jika tidak menzahirkan kekaguman dan keterujaan saya kepada perjalanan persidangan sayap-sayap kelmarin.

“Syabas kepada Wanita Luar Biasa yang saban tahun memenuhi dalam dan di luar dewan. Tidak kurang juga dengan Pemuda Cara Kita, semangat Pemuda selepas Nenggiri ini sungguh luar biasa. Saya juga terpegun dengan lautan merah jambu memenuhi setiap ruang Dewan Merdeka. Hebat Puteri UMNO,” katanya lagi. UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.