Ucapan Dasar Presiden Selaras Dengan Tuntutan Perjuangan UMNO Sabah – Bung Moktar

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin berpandangan bahawa ucapan dasar yang disampaikan oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah selaras dengan tuntutan perjuangan UMNO Sabah.

Ujarnya, keyakinan tersebut bakal diterjemahkan dengan merangka beberapa strategi dan pendekatan untuk memastikan ahli serta bukan ahli parti memberikan sokongan kepada UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Secara keseluruhan ucapan Presiden pada hari ini memakan masa satu jam 40 minit dan ia banyak menggamit perhatian pemimpin dan juga sidang perwakilan yang dihormati sekalian.

“Saya fokus kepada sentuhan mengenai UMNO di Sabah iaitu Presiden yakin dengan para pemimpin bahawa Insya-Allah dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) akan datang ini UMNO Sabah akan kembali menjadi parti dominan.

“Keinginan ini adalah selaras dengan tuntutan perjuangan UMNO Sabah itu sendiri kerana kita telah menyusun beberapa strategi dan pendekatan untuk memastikan bukan sahaja ahli UMNO tetapi rakyat di luar sana akan terus bersama UMNO/BN,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, keyakinan yang diberikan oleh Presiden bakal dapat memberikan inspirasi kepada UMNO Sabah untuk bekerja dengan lebih kuat pada PRN akan datang.

“Keyakinan Presiden berserta tekanan yang diberikan kepada saya dan rakan-rakan akan memastikan inspirasi dan juga cita-cita untuk menjadikan UMNO sebagai parti dominan di Sabah tercapai.

“Ini adalah hasil daripada gerak kerja yang kita lakukan dari peringkat awal dan hasil daripada kesatuan yang ada dengan kepimpinan dan seluruh jentera parti di peringkat akar umbi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar para pembahas akan dapat membawa segala isu yang dilontarkan oleh Presiden di samping memberikan cadangan kepada parti untuk memperbetulkan hala tuju.

“Saya berharap kepada pembahas-pembahas yang membawa usul, pencadang dan penyokong termasuklah dari Negeri Sabah agar dapat ‘pick up’ isu-isu yang dilontarkan oleh Presiden sebab walaupun ucapan tersebut memakan masa yang panjang tetapi ianya amat menggamit kita untuk memberi perhatian dalam ucapan tersebut.

“Ini adalah peluang terbaik untuk para pembahas di seluruh negeri mengetengahkan pandangan mereka dan memberikan cadangan kepada parti untuk memperbetulkan hala tuju pada masa akan datang,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit