Ucapan Dasar Presiden Konsisten, Tumpu Kepada Usaha Menjadikan UMNO Parti Dominan

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias berpandangan bahawa ucapan dasar yang disampaikan oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi konsisten dan menumpukan kepada usaha untuk menjadikan UMNO sebuah parti dominan.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, perkara tersebut menjadi agenda dan fokus utama parti pada waktu ini serta mempunyai kesinambungan sejak Presiden menyampaikan ucapan ketika ‘pre-council’.

“Bagi pihak Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan mewakili rakan-rakan ahli di semua peringkat saya ingin menyampaikan ucapan tahniah dan syabas kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di atas ucapan dasar yang disampaikan sebentar tadi.

“Ucapan dasar beliau sangat konsisten. Saya juga meneliti bait-bait ucapan tersebut, ia tidak lari daripada penumpuan dan fokus kita… penekanan terhadap perkara-perkara yang melibatkan kebangkitan dan kekuatan parti UMNO khususnya untuk terus bangkit menjadi sebuah parti dominan.

“Ini adalah merupakan antara agenda dan fokus utama presiden sejak beliau menyampaikan ucapan ‘pre-council’ sehinggalah ke ucapan dasar… mempunyai kesinambungan. Apa yang penting bagi saya ialah niat dan hasrat Presiden dapat diterjemahkan sehingga ke peringkat akar umbi tentang kebangkitan serta kekuatan parti,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, beliau yakin bahawa sekiranya para perwakilan termasuk ahli berpegang teguh kepada segala naratif telah digariskan oleh Presiden, UMNO akan kembali menjadi tempat rakyat bergantung.

“Presiden sudah pun menyenaraikan beberapa naratif, petua dan perkara yang harus diikuti serta menjadi teladan kepada kepimpinan di semua peringkat. Ini termasuklah MKT, badan perhubungan UMNO Negeri, bahagian dan cawangan untuk kita kembali menjadi sebuah parti dominan.

“Saya yakin dan percaya kalau perkara tersebut menjadi petua ataupun amalan kepada semua, parti UMNO akan kembali menjadi parti dominan serta menjadi tempat kebergantungan orang Melayu… untuk masa depan negara, agama dan bangsa kita. Insya-Allah” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.