Ucapan Dasar Presiden: Azalina Laksana Inisiatif Depani Cabaran Politik Digital

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Penerangan UMNO Malaysia menyambut baik dan berdiri teguh di belakang Ucapan Dasar Presiden Yang disampaikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024.

Ketuanya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ucapan dasar ini juga menoktahkan segala polemik berhubung keberadaan UMNO di dalam gabungan politik serta memulakan naratif baharu untuk merencanakan kegemilangan parti dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

“Penerangan UMNO Malaysia akan memberi penekanan khusus kepada penguasaan politik digital seperti yang diutarakan oleh Presiden. Menyedari bahawa era politik kini berada dalam fasa ‘politik handphone’, Penerangan UMNO akan melaksanakan inisiatif-inisiatif untuk memastikan UMNO terus berdaya saing dalam peperangan persepsi yang semakin sengit,” katanya dalam kenyataan media berkaitan hal terbabit.

Ujar beliau yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi merangkap Ahli Parlimen Pengerang, antara inisiatif yang akan dilaksanakan ialah Masterclass Komunikasi Digital, Penguasaan Teknologi Kecerdasan Buatan (Al) dan Kempen Digital Bersepadu.

“Dengan pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini, Penerangan UMNO Malaysia yakin dapat mengukuhkan lagi kedudukan dan mengangkat imej parti terutamanya di dalam landskap politik digital, seterusnya memenangi hati rakyat terutamanya generasi muda yang menjadi penentu masa depan negara,” katanya.

Berikut ialah inisiatif yang akan dilaksanakan:

1.Masterclass Komunikasi Digital Penerangan UMNO Malaysia akan menawarkan modul latihan komunikasi digital untuk melatih lebih ramai jentera penerangan parti di peringkat akar umbi supaya berupaya memahami propaganda dan menghasilkan kandungan digital positif yang berkualiti dan berwibawa bagi menarik perhatian rakyat serta menyebarluaskan mesej-mesej parti dengan lebih efektif.

2. Penguasaan Teknologi Kecerdasan Buatan (Al): Menghadapi cabaran teknologi Al dalam politik, Penerangan UMNO Malaysia akan memanfaatkan Al untuk mengenal pasti tren dan sentimen pengundi dengan lebih tepat dan bersasar. Ini akan membantu dalam Menyusun strategi komunikasi yang lebih berkesan dan responsive terhadap perubahan persepsi rakyat.

3. Kempen Digital Bersepadu: Penerangan UMNO Malaysia akan melancarkan kempen digital secara bersepadu dan strategik dengan memanfaatkan pelbagai platform media sosial terkini dan mempelbagaikan bentuk kandungan yang sentiasa releven dengan tren semasa seperti siri podsiar #Hitam Putih Kelabu (HPK) dan chatbot yang dijana oleh Al boleh menjelaskan isu-isu semasa pada bila-bila masa sahaja. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit