Terus Beri Kepercayaan Kabinet ‘Dream Team’ UMNO – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan melihat parti berkenaan dalam apa jua keadaan meletakkan kepentingan negara dan rakyat sebagai keutamaan.

Mengambil contoh bagaimana pasca Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, beliau menegaskan dalam situasi genting itu pun, UMNO tetap mengambil langkah berpaksikan kepada rakyat serta negara sebelum membuat sebarang keputusan.

Jelas beliau walau dalam kesusahan, walau dalam kekalahan, UMNO tetap meletakkan kepentingan negara dan rakyat dalam radar yang paling tinggi dan keputusan selepas Pilihan Raya Umum 2022 menyebabkan UMNO terpaksa membuat keputusan ke mana hala tuju yang patut diambil.

“Kita melihat bukan sahaja kepada kepentingan parti, tetapi juga mana satu tindakan yang boleh meletakkan rakyat dan negara kita dalam satu keadaan yang begitu mencabar. Baru sahaja keluar daripada Covid, ekonomi kita teruk, hutang kita meningkat, ringgit menjunam… maka kita buat keputusan bahawa UMNO mesti bersama-sama dengan kawan-kawan yang lain membentuk sebuah kerajaan yang menjadi formula yang telahpun teruji dari dulu sampai sekarang untuk menyelamatkan negara dan ekonomi.

“Kita bukan hanya pilih Pakatan Harapan karena isu politik, kita memilih Pakatan Harapan untuk kepentingan ekonomi, menjaga ekonomi dan negara. Jadi kalau dalam perbahasan tadi ada juga soalan-soalan yang mengatakan, terutama Dr Akmal mengatakan, daripada 26 kurusi Parlimen, kita perlu 2/3… saya setuju. Sekarang ini kita berada dalam Kerajaan Perpaduan, orang lain menjadi Perdana Menteri bukan kerana kita tidak hebat. Kita dalam kabinet, kita ada tujuh orang menteri.

“Walaupun kita hanya ada 30 ahli parlimen Barisan Nasional, kita hantar tujuh menteri dalam apa yang saya panggil ‘a dream team’. Tanpa tujuh orang ini, saya boleh katakan kabinet tidaklah ‘se-efektif’ berkesan seperti sekarang. Siapa yang kita hantar? Seorang Timbalan Perdana Menteri yang sudah pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri sebelum ini, 40 tahun pengalaman politik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, di sini, semalam.

Rahman seterusnya menambah pelbagai menteri lain yang mempunyai pengalaman sebagai menteri besar dan tokoh korporat memberikan kelebihan kepada kabinet hari ini.

“Lepas itu apa lagi tuan-tuan? Tiga orang berpengalaman sebagai menteri besar, seorang daripada Johor, seorang daripada Negeri Sembilan, seorang lagi daripada Perak… menteri-menteri besar yang mempunyai pengalaman, kita hantar ke kabinet mewakili Parti UMNO. Siapa lagi? Kita hantar lagi dua tokoh korporat yang berjaya.

“Datuk Johari Ghani dan Tengku Zafrul, dan kita hantar lagi seorang pakar undang-undang. Tanpa tujuh orang ini tuan-tuan, saya tidak rasa kabinet yang ada sekarang ini, walaupun kita terima dan kita sokong, saya rasa tidaklah seperti yang ada sekarang. Sebab itu kalau kita lihat apa yang berlaku dalam setahun-dua ini, sementara saya menyokong dan memberikan penghargaan kepada Perdana Menteri, tetapi di belakang segala isu yang menjadi kekuatan negara kita ini, ada susuk tubuh pemimpin UMNO yang menggerakkan agenda itu.

“Soal Palestin, kita ada Menteri Luar yang terus-menerus memperjuangkan Palestin. Soal TVETt, menteri UMNO, soal konvensyen bumiputera, menteri UMNO… soal kedaulatan negeri Sabah dalam konteks Sulu, siapa yang memperjuangkan negeri Sabah… menteri UMNO. Soal pelaburan, yang kita dengar melonjak menteri pelaburan adalah UMNO. Soal tentang memartabatkan pengajian Tahfiz, juga menteri UMNO.

“Jadi tuan-tuan, dalam kedudukan kita yang begini pun, sebenarnya kita memainkan peranan yang cukup besar dan kita mesti menyokong ‘dream team’ yang ada dalam kabinet ini,” ujarnya lagi.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit