Tengku Razaleigh Seru Ahli Ketepikan Kepentingan Peribadi Demi Kejayaan Parti

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Ahli parti perlu mengetepikan kepentingan peribadi supaya UMNO terus kembali kukuh dan menjadi relevan pada rakyat di samping dapat mencurahkan khidmat bakti kepada masyarakat.

Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, YM Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah berkata demikian dan menyeru ahli parti berkerja lebih kuat. 

Katanya, perjuangan UMNO bersifat kebangsaan iaitu bukanlah hanya untuk mendapatkan kuasa tetapi bagi mengembalikan kepercayaan orang Melayu kepada parti.

“UMNO harus berkerja kuat dan yang penting mengutamakan kepentingan parti, tidak mengutamakan kepentingan peribadi ataupun mengambil kesempatan untuk perkara-perkara selain daripada usaha parti bagi kepentingan bangsa. 

“Tengok barisan kepimpinan yang diwujudkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Dr Ismail dan lain-lain. Ketokohan mereka terserlah semata-mata mahu merdekakan tanah air dan mereka berjaya walaupun dengan tidak ada banyak sokongan.

“Sekiranya kita mempunyai kepimpinan seperti dahulu maka kita akan berjaya. Bertekad demikianlah dan sudah pasti akan kuat. Apa yang digariskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan perkara yang mustahil hendak dilaksanakan,” katanya ketika di temui UMNO Online, di sini.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 yang bermula hari ini berlangsung penuh tertib dengan bacaan selawat mengiringi kemasukan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama barisan kepimpinan dan ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO ke dalam Dewan Merdeka.

Upacara itu kemudian diikuti lagu Wanita, Pergerakan Pemuda diikuti Pergerakan Puteri UMNO yang disempurnakan oleh ketua masing-masing.

Mendahului perarakan ini adalah pembawa senaskah al-Quran melambangkan agama Islam, sebilah Keris Pusaka Melayu melambangkan perjuangan bangsa Melayu, sehelai bendera Jalur Gemilang dan sehelai Sang Saka Bangsa berserta buku Perlembagaan UMNO melambangkan perjuangan parti. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit