‘Sang Saka Bangsa’ Dikibarkan, Perhimpunan Agung Parti Keramat Melayu Bermula

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Tirai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 dibuka apabila bendera ‘Sang Saka Bangsa’ telah mula berkibar di perkarangan Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), pagi ini.

Bermula jam 8.00 pagi, upacara menaikkan bendera keramat parti itu berlangsung dengan dumulakan oleh lagu Wanita, seterusnya Pergerakan Pemuda dan diikuti Pergerakan Puteri UMNO yang dilakukan oleh ketua masing-masing menaikkan bendera.

Untuk Wanita UMNO, ia disempurnakan oleh Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Pergerakan Pemuda UMNO oleh Dr Muhamad Akmal Saleh dan diikuti dengan Pergerakan Puteri UMNO oleh Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.

Ini kemudian disusuli dengan nyanyian lagu parti ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ dengan ‘Sang Saka Bangsa’ sempurna dikibarkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut diiringi Timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Hadir sama menyaksikan upacara menaikkan bendera ini adalah Ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda, Exco Pergerakan Puteri UMNO dan para perwakilan.

PAU 2024 yang telah berlangsung sejak 21 Ogos lalu dengan Perasmian Perhimpunan Agung UMNO sayap-sayap telah menghimpunkan para perwakilan dari 191 bahagian di seluruh negara.

Upacara menaikkan bendera ‘Sang Saka Bangsa’ ini akan disusuli dengan Ucapan Dasar Presiden seterusnya perbahasan para perwakilan sehingga 24 Ogos ini.

Diharapkan pada PAU 2024 ini para perwakilan dan pemimpin dapat berganding bahu untuk mencari jalan penyelesaian bagi memperkukuhkan lagi semangat juang dalam usaha menarik sokongan rakyat terutamanya anak muda. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit