Puteri UMNO Sentiasa Komited Bawa Perubahan Kepada Gerak Kerja Penerangan – Shamellya

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Pergerakan Puteri UMNO sentiasa komited untuk membawa perubahan gerak kerja penerangan sayap tersebut kepada rakyat bagi memperoleh semula kepercayaan mereka terhadap parti.

Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Shamellya Norazizi berkata, meskipun terdapat pelbagai tugasan diberikan kepada sayap tersebut, mereka masih memberikan komitmen yang terbaik.


“Saya kira melalui Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ini adalah satu platform yang sangat penting untuk kita semua berjumpa. Apabila ada tugasan seperti di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, pidato, PRK Nenggiri dan terakhir sekali adalah PAU… anda semua masih memberikan komitmen yang terbaik.

“Insya-Allah kalau ada ruang dan peluang kita akan cuba perbaiki lagi dari tahun ke tahun. Kami sentiasa komited mahu membawa perubahan kepada Penerangan Pergerakan Puteri UMNO. Kalau kalian perasan kita banyak buat program dan perkara-perkara yang sememangnya menunjukkan gerak kerja kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena majlis perjumpaan bersama Ketua-Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO peringkat bahagian di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), semalam.

Mengulas lanjut, beliau turut mengharapkan agar Penerangan Pergerakan Puteri UMNO sentiasa cakna kepada isu-isu semasa dan membantu Ketua Pergerakan Puteri UMNO di bahagian masing-masing dari sudut memberi pencerahan kepada rakyat.

“Saya mohon juga selepas pulang daripada PAU hari ini (Khamis), kalau ada sesiapa yang masih kekal di sini sehingga Sabtu, dengarkanlah ucapan-ucapan perbahasan sebab daripada situlah mungkin hasrat saya selaku Ketua Penerangan Puteri UMNO Malaysia… saya mahu sahabat-sahabat saya di bahagian turut sama mengambil tahu dan cakna dengan isu semasa.

“Kalian semua adalah panglima kepada bahagian masing-masing. Kalian adalah penolong ataupun orang paling kanan kepada Ketua Pergerakan Puteri masing-masing. Kalau mereka memerlukan bantuan, kalianlah yang perlu memberikan pertolongan,” katanya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.