Perhimpunan Agung UMNO Jayakan Kesatuan, Terus Lakar Kejayaan – Rais

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Ketua UMNO Tangga Batu, Datuk Rais Yasin melihat tanpa kesatuan serta solidariti daripada pelbagai peringkat kepimpinan serta ahli parti, amat mustahil UMNO mampu melakar kejayaan.

Atas dasar berkenaan, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput mengambil kesempatan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 yang sedang berlangsung di World Trade Centre (WTC) mengadakan pertemuan bersama kepimpinan dan perwakilan daripada Tangga Batu.

“Alhamdulillah. Semalam saya berbesar hati meraikan sahabat-sahabat para perwakilan daripada empat sayap dan juga kepimpinan akar umbi yang hadir memeriahkan PAU 2024. Walaupun tidak dirancang awal, namun saya teruja melihat kehadiran penuh sahabat-sahabat seperjuangan di Tangga Batu.

“Prinsip saya jelas, tanpa kepimpinan yang utuh di peringkat akar umbi, mustahil UMNO ini akan mampu bergerak melakar kejayaan. Justeru ukhuwah dan ikatan keluargaan UMNO perlu diperkasakan bermula di peringkat bahagian,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Beliau seterusnya menambah Perhimpunan Agung UMNO saban tahun merupakan tempat untuk masing-masing berpadu tenaga dan melontarkan idea dalam usaha memperkasakan lagi perjuangan parti.

“Di sinilah kami berpadu tenaga dan bersatu hati menggembleng tenaga demi Parti Keramat ini. Bersama kita mendoakan agar PAU 2024 berakhir dengan keberkatan dan penuh kejayaan. Insya-Allah,” ujarnya.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.