PAU 2024: Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

MENDEPANI DINAMIKA POLITIK

Tiada ungkap mahupun kata Selain syukur ke hadrat Yang Maha Esa
Melihat sahabat seperjuangan yang tetap setia Memenuhi Dewan Merdeka bersama-sama Membawa suara dan denyut sepelusuk negara Agar agama bangsa dan negara tetap terbela

Yang Berbahagia Tan Sri Pengerusi Tetap,

Yang Berhormat Dato Seri Utama Timbalan Presiden UMNO

Yang Amat Berhormat, Yang Berhormat Naib-Naib Presiden UMNO Yang Berhormat Ketua Wanita UMNO dan saf kepimpinannya
Yang Berhormat Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan saf kepimpinannya

Ketua Pergerakan Puteri UMNO dan saf kepimpinannya Setiausaha Agung UMNO
Bendahari Agung UMNO Ketua Penerangan UMNO
Ahli-Ahli Majlis Tertinggi UMNO

Presiden MCA Presiden MIC Presiden PBRS
Wakil-wakil Kelab UMNO luar negara
Barisan Kepimpinan Parti-Parti Komponen dan Parti-Parti Bersekutu Barisan Nasional

Sidang Perwakilan yang saya hormati sekalian

1. Mukadimah kata, marilah kita bersama-sama laungkan HIDUP UMNO… ALLAHU AKBAR…

2. Kita serukan kalimah Hidup UMNO seiring dengan memuji kebesaran Allah SWT, sebagai tanda keyakinan. Yakin dengan parti sebagai sebuah perjuangan. Yakin dengan kebesaran Allah SWT yang menjadi pedoman.

TAWADUK MERAIKAN KEJAYAAN

3. Alhamdulillah atas pegangan ini, kita merafakkan syukur ke hadrat Allah SWT atas kejayaan kita dalam PIlihan Raya Kecil DUN Nenggiri. Kemenangan yang amat bermakna dalam perjalanan perjuangan parti.

4. Sementara kita bergembira, ia tidak mengatasi rasa insaf ke hadrat Allah Yang Maha Kuasa. Insaf kerana ini merupakan amanah yang diberikan oleh bangsa. Insaf akan pertanggungjawaban untuk memastikan rakyat terus terbela.

“Di kala menang kita bangga, di kala kalah kita setia”

5. Sekalung penghargaan saya zahirkan kepada para pengundi di Nenggiri. Begitu juga buat semua ahli UMNO yang mencurahkan keringat bagi memastikan kita mencapai kejayaan. Khususnya kepada Yang Mulia Tengku Razaleigh Hamzah selaku Pengarah Pilihan Raya dan Dato’ Sri Ahmad Jazlan Yaakub sebagai Pengarah Operasi atas perancangan dan gerak kerja yang kita susun bersama.

6. Kepada seluruh jentera khususnya daripada UMNO Negeri Kelantan dan Negeri-Negeri angkat yang berkampung di Nenggiri, jasa kalian amat dihargai.

7. Kepada Azmawi Fikri, pesan saya, andai berjalan jangan meninggi. Ingatlah kaki masih berpijak di bumi. Kemenangan ini bukan menjadi kebanggaan diri. Ia datang dengan amanah parti. Paling utama jangan dilupa orang di Nenggiri.

Malam hari pasang pelita Duduk makan buah berangan Dari Nenggiri kita ke Mahkota
Moga redha Allah iringi perjuangan

Sidang Perwakilan Sekalian,

SENTUHAN PERJUANGAN UMNO

8. Kita berhimpun pada hari ini setelah UMNO melangkaui usia 78 tahun. InsyaAllah, lapan hari lagi kita akan menyambut kemerdekaan. 11 tahun selepas UMNO ditubuhkan, negara mencapai kemerdekaan memadamkan 400 tahun derita penjajahan.

9. Memasuki lapan dekad usia penubuhan, sudah pasti perjalanannya bukan sentiasa mulus. Pasti diiringi dengan pelbagai rintangan. Namun, langkah diatur, fasa-fasa perjuangan diolah mengikut kesesuaian tuntutan sezaman.

10. Dekad-dekad awal perjuangan kemerdekaan dan mengisi erti kemerdekaan, digaris jelas hala dan tujuan. Dihimpunkan umat atas satu kesatuan, mahu berdiri teguh memimpin watan. Digarap, diolah dasar mengikut acuan agar negara dibangun dengan Islam dan Melayu diindukkan tanpa meminggir latar rakyat yang berkemajmukan.

11. UMNO melalui pelbagai inisiatif kejuruteraan sosial menyusun strategi dan kebijakan. UMNO tampil dengan pelbagai dasar dan program pembangunan kerana mahu melihat maruah dan martabat umat Melayu diperdanakan.

12. Melalui bidang pendidikan yang menjadi gerakan mobiliti sosial besar-besaran termasuk meningkatkan kelompok professional Bumiputera diusahakan agar keseimbangan dengan kaum lain dapat disetarakan.

13. Begitu juga halnya dalam sektor perekonomian. Bermula dengan ikhtiar usaha sara diri sehinggalah kepada pemilikan dalam pelbagai bidang perdagangan dan perindustrian ditata dengan penuh kesungguhan.

14. Rentetan peristiwa awal ini, saya lontarkan kerana setiap individu di negara ini tidak kira latar, berada pada kedudukan mereka sekarang hasil sentuhan dan kebijakan dasar UMNO yang dinukilkan. Kita perlu terus menyedarkan rakyat, akan peranan dan tanggungjawab yang telah kita lakukan, seawal perjuangan negara dimerdekakan.

15. Apatah lagi mereka yang kini menjadi pemilih bagi menentukan kerajaan sudah semakin jauh daripada penceritaan jerih payah, perit sukarnya membina sebuah negara bangsa. Bagi mereka, itu kisah lama yang tidak sedikit pun menyentuh denyut rasa.

16. Ini menjadi cabaran besar buat kita untuk menangkap kembali imiginasi mereka. Lebih malang, kita ditolak hanya dek kerana cemuhan dan nista. Persepsi yang ditanam memadam segala jasa dan kebaikan yang kini mereka nikmati bersama. Namun tidak dinafikan, ada juga kelalaian dan kesilapan yang pernah kita lakukan menjadikan mereka terus dingin dengan UMNO.

17. Bukan niat kita untuk menyalahkan mereka. Akan tetapi kita bimbang dan khuatir, apakah bentuk negara pada masa hadapan, andai penilaian generasi muda, banyak disandarkan kepada persepsi semata-mata. Ingatlah pesan Saidina Ali Radhiallahuanhu

“Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini”

18. Mengenang PRU Ke-14 yang lalu, kita dapat melihat bagaimana benih-benih fitnah, persepsi buruk dan pembohongan menjadi tsunami yang begitu besar, sehingga tidak mampu ditangkis oleh jasa baik dan sumbangan parti kepada rakyat dan watan.

19. Malah, selepas PRU Ke-15 gelombang persepsi, fitnah dan pembohongan terus mengoncang pelayaran Kerajaan Perpaduan. Ini kerana benih yang disemai sekian lama seakan sudah mengakar ke bumi. Bak kata bidalan:
Bagai apa yang ditanam itulah yang tumbuh Kita menuai apa yang disemai

Malah peringatan juga telah diberikan oleh Allah SWT:

Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga – Surah Al-Isra : 7

Saudara saudari perwakilan sekalian,

PERKONGSIAN KUASA SATU KESINAMBUNGAN

20. Melayari tahun kedua, kita berkongsi kuasa membentuk kerajaan, kita perlu melihat realiti politik semasa dan kebarangkalian masa hadapan. Dengan latar kedinamikan politik serta hakikat tiadanya parti tunggal yang menguasai majoriti, menuntut kita bersedia melakar kanvas politik baharu untuk Malaysia. Ini termasuklah melihat daripada sudut perkongsian kuasa.

21. Perkongsian kuasa membentuk Kerajaan Campuran bukanlah fenomena baharu di pentas politik dunia. Malah, lebih 70 negara seperti Jerman, Itali, Perancis, Belanda telah menerima pakai model

tadbir urus ini sebagai cara untuk memandu lanskap politik yang kompleks.

22. Kerajaan Campuran dibentuk apabila tiada satu parti pun, mendapat majoriti di Parlimen dan memerlukan kerjasama rentas parti untuk mewujudkan sebuah kerajaan. Perkongsian kuasa ini lazimnya memerlukan kompromi terhadap idealisme, agenda atau prinsip perjuangan sesebuah parti.

23. Terdapat dua bentuk Kerajaan Campuran. Pertama, melibatkan gabungan pre-election atau pra-pilihan raya dan kedua bergabung selepas pilihanraya. Malah, ada gabungan berjaya mewujudkan sebuah Kerajaan yang mutlak atau super-majority Government.

24. Selain itu, negara-negara yang mempunyai sejarah pemerintahan parti tunggal suatu ketika dahulu, menyaksikan peralihan bentuk kerajaan. Peralihan ini disebabkan tren pengundi yang tidak lagi memberikan mandat besar kepada satu parti sahaja.

25. Contohnya Liberal Democratic Party (LDP) di Jepun, yang memegang kuasa selama hampir empat dekad beralih ke arah tadbir urus gabungan sejak pertengahan 1990-an. Pada pilihan raya lalu LDP menguasai 261 kerusi sebagai blok terbesar, namun, hanya dengan kerjasama parti Komeito yang memiliki 32 kerusi, barulah Fumio Keshida dapat membentuk kerajaan dan menjadi Perdana Menteri.

26. Di Indonesia, Presiden Bapak Prabowo sedang mengukuhkan kuasanya, dengan menjalin pakatan bersama parti-parti lain. Di India,

parti BJP pimpinan Narendra Modi yang menikmati mandat kukuh selama hampir 10 tahun, juga memerlukan kerjasama dan rundingan dengan 20 rakan gabungan.

27. Perkongsian kuasa ini, sebenarnya tidak asing bagi Malaysia. Seawal proses demokrasi negara mula diperkenalkan, melalui Pilihan Raya Umum Persekutuan pada 27 Julai 1955, Perikatan yang dianggotai oleh UMNO, MCA dan MIC memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan.

28. Walaupun kita bertanding atas satu parti gabungan, namun hakikatnya ia adalah model perkongsian kuasa yang kita bina. Rakyat pada ketika itu, telah menerima acuan perkongsian kuasa ini, sebagai model yang diyakini untuk meneruskan perjalanan Persekutuan Tanah Melayu, menuju kemerdekaan.

29. Saya latari sejarah awal ini, bagi mengingatkan bahawa, inilah pegangan politik kita. Perkongsian ini dikembangkan lagi 50 tahun lalu, melalui penubuhan Barisan Nasional yang melibatkan 13 parti termasuk dari Sabah dan Sarawak.

30. Di sini suka saya mengambil kesempatan untuk menzahirkan setinggi penghargaan kepada rakan-rakan komponen Barisan Nasional khususnya kepada MCA, MIC dan PBRS yang kekal setia. Saat menang mahupun kalah, ketika bangkit mahupun rebah. Jalinan kita tak pernah goyah. Yakinlah, UMNO tetap menjadi teman yang sejati. Biarlah hubungan ini menjadi manifestasi perkongsian kuasa yang akan sentiasa dicontohi.

31. Selain perkongsian kuasa, Barisan Nasional adalah parti yang membawa suara sederhana yang menyatukan parti-parti politik berhaluan kanan dan kiri. Penyatuan inilah yang menjamin keindukan Islam dan Melayu terpelihara tanpa meminggirkan hak dan suara kaum-kaum lain. Inilah akar tunjang yang menjamin keamanan, kestabilan dan keharmonian hidup bernegara.

32. Ditakdirkan, pada PRU ke-14 kita kecundang. Model perkongsian kuasa Barisan Nasional, cuba dilaksanakan oleh pentadbiran kerajaan pada ketika itu. Walakin, perkongsian mereka tidak bertahan lama. Ini kerana prinsip perkongsian mereka dipenuhi dengan percaturan politik dan rasa saling tidak percaya yang akhirnya menyaksikan kita melalui lima tahun dalam keadaan ketidak-stabilan.

33. Kini, selepas PRU Ke-15 lalu, sekali lagi politik Malaysia diuji. Tiada mana-mana parti atau gabungan yang mempunyai cukup jumlah untuk membentuk kerajaan. Dengan hikmah dan hematnya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16, kita meneruskan asas perkongsian kuasa. Walaupun ada yang meroyan dan mempersoal kenapa tak dilantik menjadi Perdana Menteri semula. Hingga Paduka Tuanku sanggup dipersenda, mengundang murka pihak istana. Hakikatnya, perkongsian kuasa ini ditempa dengan mewajibkan semua pihak menerima keindukan Melayu dan Islam.

34. Sama semasa pembentukan Barisan Nasional 50 tahun lalu, inilah juga pendirian UMNO. Kita katakan kepada parti Gerakan dan PPP ketika itu, yang agak keras mahukan hak sama rata. Penegasan ini

jugalah kita nyatakan kepada DAP dua tahun lalu. Malah jika kerjasama politik masa depan kita turut melibatkan mana-mana pihak lain, kita tetap dengan pendirian ini.

35. Suka saya tegaskan, seandainya, dalam kita menjalin kerjasama dengan mana-mana parti jika martabat Islam dan perjuangan agenda Melayu cuba dirungkai atau dicairkan kita tidak akan teragak-agak membuat keputusan politik untuk menghentikan kerjasama berkenaan.

Sidang perwakilan sekalian

36. Resam politik, bila satu pihak mentadbir, tentu ada pihak yang akan sentiasa berusaha menggugat. Walaupun telah dijelaskan, serangan kepada UMNO kerana berada dalam kerajaan terus didendangkan.

37. Naratif Melayu dan Islam terancam sentiasa dimainkan. Mereka menanam kebencian, menyuntik kejelekan dan menebal kecurigaan. Kebenarannya, kita tidak pernah mengubah atau mencairkan matlamat penubuhan UMNO dek kerana kita menjadi sebahagian kerajaan.

Yakinlah… Baiah penubuhan parti tetap dipertahankan.
Islam yang syumul terus dimartabatkan.
Hak Melayu kekal diistimewakan. Bahasa Melayu kukuh dinobatkan. Raja-Raja Melayu mulia didaulatkan.

38. Kita bukan seperti mereka yang saya sifatkan sebagai parti kura-kura, menyorokkan kepala dan sanggup menjual prinsip tatkala berada di tampuk kuasa.

39. BERSATU pernah berada dalam kerajaan. Jangan kita lupa, merekalah antara orang yang bertanggungjawab mengancam kedudukan Melayu. Usaha untuk menerima pakai ICERD – dibawa oleh salah seorang pimpinan mereka yang menjadi Menteri ketika itu. Malah Perdana Menterinya juga dari Bersatu. Kita tidak akan lupa walaupun dia kata Melayu mudah lupa. Jika bukan kita sebagai pemelihara keindukan Melayu bangkit menentang. nescaya konvensyen tersebut telah ditandatangani.

40. PAS yang bertopengkan agama, ketika menjadi kerajaan, apa agenda Islam yang mereka bawa? RUU 355 senyap sepi seribu bahasa. Hudud bukan lagi agenda utama. Negara Islam pula entah ke mana.

41. Orang Melayu perlu sedar akan perkara ini. Mereka hanya tahu memainkan sentimen dan emosi bukannya bertujuan memperkukuhkan kedudukan Melayu dan Islam. Ia hanya sandiwara politik yang mengkhayalkan.

42. Saya ingin menyeru kepada seluruh umat Melayu. Janganlah terpedaya atau terpesona dengan lisan mereka yang fasih memainkan kata-kata. Kesannya besar kepada kestabilan dan keharmonian negara.
Saudara-saudari sekalian,

43. Mengurus dan mentadbir negara bukan satu uji kaji. Saya masih ingat antara ungkapan yang popular sebelum PRU Ke-14 lalu. Kata mereka:

“Kita cubalah lima tahun. Selepas itu kalau tak bagus kita tukarlah semula.” Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna.

Akibatnya, dapat kita saksikan kini. Perpecahan khususnya di kalangan orang Melayu makin melebar. Kuasa politik orang Melayu semakin melemah.

44. Untuk itu bagi memperkukuhkan agenda perkongsian kuasa berindukan Melayu dan Islam, UMNO akan menjalankan usaha secara besar-besaran, menyatukan pertubuhan-pertubuhan NGO Melayu sebagai satu gerakan. Gerakan yang saya namakan RUMPUN MELAYU.

45. Melalui gerakan ini, kita akan bersama-sama pertubuhan-pertubuhan yang memiliki semangat mempertahankan perkongsian kuasa. Kita mahu gerakan ini, sebagai wadah untuk memastikan agenda Melayu dan Islam menjadi teras dalam apa juga bentuk kerjasama yang hendak dijalinkan.

46. Sekali lagi saya menyeru umat Melayu kembalilah kepada politik kesederhanaan. Janganlah terikut dan terbuai dengan penceritaan muluk-muluk kononnya merekalah yang berjuang demi Melayu dan agama.

47. Kita insaf, UMNO bukan maksum sifatnya. Ada salah dan ada silapnya. Ada lemah dan ada kurangnya. Insya-Allah selagi mana

kita ditakdirkan berkuasa, keindukan Islam dan Melayu tetap menjadi agenda utama demi kestabilan dan kerukunan negara.

MELAYARI POLITIK MASA HADAPAN

48. Dengan penegasan tentang konsep perkongsian kuasa yang ditunjangi UMNO sehingga kini, kita akan meneruskan pelayaran bahtera perjuangan ini untuk mara ke hadapan.

49. Jika sebelum ini kita mengambil pendekatan GO SOLO, adakah ia merupakan langkah terbaik dalam keadaan politik semasa? Berdasarkan data dan sentimen sekarang, apakah kelebihan yang kita ada? Dengan pertambahan pengundi baharu pula, dapatkah kita menguasai persepsi mereka?

50. Ahli UMNO sahaja tidak mampu memenangkan kita. Yang menjadi penentu adalah pengundi di luar sana. Yang jauh lebih besar peratusannya. Yang jauh lebih ramai jumlahnya.

51. UMNO mesti keluar dari “echo chamber” dan zon selesa. Kita mesti berani berdepan dengan idea-idea baharu dan perspektif yang beragam agar kita tetap relevan dalam lanskap politik yang semakin kompleks. Jangan kita ingat, kita dominan seperti dahulu lagi. Jangan terbuai dengan fitnah dan tohmah pihak lawan sehingga kita menanam kesangsian sesama sendiri. Jangan leka dengan sedikit kuasa yang ada sehingga kita lupa akan tugas memperkuatkan parti.

52. Jika kita ingin membentuk persefahaman pula, apakah bentuk kerjasama yang hendak diterjemahkan. Apakah kerjasama sebelum memasuki gelanggang pilihan raya atau selepas pilihan raya barulah dibuat pertimbangan. Kesemua ini memerlukan percaturan semasak- masaknya. Sebagai parti yang membentuk sebuah negara bangsa, apa pun pencak politik atau langkah yang hendak diambil, kepentingan negara dan rakyat adalah pra syarat yang tidak akan kita korbankan.

53. Untuk itu, suka saya menggariskan tiga rukun politik bagi mendepani laman baharu dinamika dan realiti semasa politik tanahair iaitu:

i. Menetapkan sasaran penguasaan kerusi Parlimen bagi memastikan UMNO menjadi parti yang membentuk kerajaan:
ii. Membuka pilihan untuk bekerjasama dengan jajaran politik yang menerima keindukan Islam dan Melayu sebagai teras; dan
iii. Memastikan politik sederhana dengan mengambil jalan tengah sebagai model kesepakatan yang berupaya memelihara kestabilan negara.

54. Saya gariskan tiga rukun ini kerana perubahan pola politik dan sikap pengundi, seolah-olah telah memetakan komposisi kerusi dalam Parlimen. Berdasarkan senario semasa, 222 kawasan Parlimen kini diwakili oleh hampir seimbang antara parti-parti utama.

55. Jika kita lihat daripada kedudukan sekarang kesemua parti memiliki antara 30 hingga 40 kerusi di Parlimen. Keadaan ini turut menjadikan amalan demokrasi di Malaysia perlu kepada satu kematangan. Ini kerana tiada satu parti atau gabungan menguasai majoriti mudah

untuk membentuk kerajaan. Malah terdapat beberapa kajian dan dapatan menjangkakan, keadaan yang sama akan berlaku pasca PRU Ke-16 yang akan datang.

56. Sebagai parti, keadaan ini tentunya menjadi laluan yang sukar. Namun ia membuka ruang kepada semua parti untuk mencari titik persamaan atas kemaslahatan negara. Kerjasama antara parti untuk menubuhkan kerajaan, dilihat sebagai natijah paling besar dengan perubahan landskap politik masa kini.

57. Dengan sebab itu, usaha-usaha untuk memastikan agar UMNO terus dominan dalam erti kata menguasai dan mempunyai kelebihan di tengah-tengah perubahan lanskap amat penting. Saya sebelum ini telah berulang kali menyentuh soal dominan kembali. Untuk itu, suka saya jelaskan dominan dalam erti kata:

 Pertama: Kita mesti dominan daripada segi bilangan kerusi. Ini menuntut semua UMNO Bahagian yang Parlimen atau DUN nya kalah, perlu merencana usaha untuk menawan semula kerusi-kerusi berkenaan.

 Kedua : Kita mesti dominan dalam kedudukan perundingan sekiranya keadaan memerlukan perkongsian;

 Ketiga: Kita mesti dominan dalam ideologi perjuangan iaitu mempertahankan keindukan Islam dan Melayu/Bumiputera; dan

 Keempat: Kita mesti dominan dalam menawarkan dasar-dasar awam yang menjamin kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran negara.

58. Faktor kedua dan ketiga telahpun kita lalui selepas PRU-15 yang lalu. Kita berunding membentuk perkongsian. Kita menetapkan syarat- syarat kerjasama sehingga termeterainya perjanjian membentuk kerajaan Perpaduan.

59. Keempat-empat faktor ini, bukan sahaja berkait dengan soal kelangsungan parti tetapi mampu menjadikan parti kita sebagai penentu dalam soal pembentukan kerajaan.

60. Sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, kita tidak pernah disekat untuk memasang cita-cita besar. Kita berhak kembali dominan dengan jalan yang kita lakar. Kerana kita adalah parti yang bebas merdeka.

61. Lontaran pandangan ini janganlah ditafsir sebagai keangkuhan. Sebaliknya ia adalah pendirian tegas, dalam kita mahu memastikan UMNO terus relevan. Pendirian ini juga bagi menjamin rakyat tidak diperjudikan dengan politik emosi atau sentimen yang merugikan.

Sidang Perwakilan sekalian

62. Membina semula keyakinan rakyat terhadap politik sederhana amat mendesak. Kepada ahli-ahli parti, kita perlu meletakkan kepercayaan terhadap usaha-usaha dan pertimbangan parti, dalam mendepani pantasnya anjakan politik semasa yang berlaku.

63. Lihatlah enam tahun kebelakang. Masakan kita lupa. Tatkala saya menerima amanah menerajui parti ini, bersama saudara-saudara, pelbagai episod yang melanda. Parti kita cuba dikuburkan kewujudannya. Pemimpin kita dihina semahunya. Ada yang disogok agar khianat meninggalkan bahtera, malah undang-undang diperalat mengikut nafsu sang penguasa.

64. Namun ketika itu, teringat saya pesan hikmah daripada Buya HAMKA, katanya “Pemimpin ialah memimpin supaya tegak. Membimbing supaya dapat berjalan. Memapah supaya jangan jatuh. Menarik naik kalau sudah tergelincir jatuh. Tegak ke muka kalau bahaya datang mengancam”

65. Atas kata-kata hikmah inilah, saya bersama-sama dengan barisan kepimpinan UMNO terus mengatur langkah. Meneroka pelbagai bentuk kerjasama demi kelangsungan wadah. Alhamdulillah, kita hanya menjadi pembangkang selama 22 bulan. Dalam keadaan getir, penuh dengan cabaran dan penghinaan, kita menyusun strategi dan perancangan. Sehingga ke hari ini, UMNO tidak karam dalam gelombang perubahan.

66. Dengan itu, yakinlah, apa pun keputusan yang kita ambil, kita tidak sesekali akan menggadai maruah dan masa depan parti. Saya tidak akan menjadi pengkhianat atau merelakan mana-mana pihak, menjadikan parti keramat ini sebagai bahan dagangan.

Sidang perwakilan sekalian

67. UMNO perlu lebih strategik dalam semua pendekatannya. Dalam senario politik semasa yang bergerak pantas dan berdaya saing ini, kita tidak boleh selesa dengan cara lama.

“The difference between ordinary and extraordinary is that LITTLE EXTRA”

68. Ini membawa makna, dalam kita mengatur hala tuju dan memberi pengisian kepada perjuangan kita – yang benar-benar dapat membezakan UMNO dengan parti lain adalah, kesanggupan untuk melakukan anjakan usaha dan melangkaui batas kebiasaaan.

69. Saya pasti di hadapan saya, baik yang berada di pekan, bandar mahupun desa – ingin melihat UMNO kembali gemilang. Justeru, kita mesti bersama-sama menggarap usaha ini. Kita tidak boleh bergantung kepada tuah semata-mata. “Yang bulat tak akan datang bergolek, yang pipih tak akan datang melayan”

70. Setiap dari kita mestilah memiliki jiwa islah. Jiwa yang sentiasa berusaha untuk mencipta perubahan dan menakluki pemikiran masa hadapan. Kenalpasti ruang untuk menambah kreativiti, aspirasi dan anjakan dalam setiap perancangan mulai hari ini.

71. Kita perlu juga menggariskan agenda-agenda besar perjuangan untuk masa depan. Membangunkan kapasiti anak bangsa, amat penting demi kelangsungan sebuah perjuangan. Untuk itu, suka saya menghamparkan lima agenda utama sebagai pedoman menentukan haluan.

PERTAMA: AGENDA PENGISLAHAN GENERASI MASA HADAPAN

72. Kita melihat kebelakangan ini wujudnya kelompok yang menggunakan tarbiyah bagi menanam kebencian, ketaksuban serta kejumudan. Lebih parah ketaksuban dipasak kepada anak-anak seawal peringkat tabika menjurus kepada politik kepartian. Anak- anak diasuh dengan perasaan benci kepada kerajaan yang membentuk ruang lingkup pandangan terlalu jumud.

73. Kelompok ini menjadikan ayat-ayat suci sebagai senjata menampakkan mereka lebih mulia, demi meraih sekelumit kuasa. Sabda Junjungan ditafsir mengikut selera, memesong ummah ke lembah sengketa.

74. Renungkanlah. Firman Allah SWT:

Janganlah kalian menjual ayat-ayat-Ku dengan murah harganya…”

75. Kita boleh berbeza pendapat. Namun memperkasa dan menyatukan tindakan atas persamaan, hakikatnya lebih menguntungkan. UMNO berpendirian, kita mesti bersatu memikirkan usaha membangunkan

Islam dan generasinya. Inilah agenda yang sepatutnya menjadi keutamaan.

76. Untuk itu, pelaksanaan program Pra Tahfiz Tabika KEMAS telah dimulakan pada tahun lepas di 100 buah TABIKA melibatkan 1,500 orang kanak-kanak. Tahun ini, ianya diperluaskan kepada 4,145 buah TABIKA dengan penyertaan 62,172 orang kanak-kanak. Saya akan memastikan program Pra Tahfiz ini akan dilaksanakan di 9,600 buah Tabika KEMAS seluruh negara secara berperingkat. Sasaran besar kita, untuk melahirkan seramai 140 ribu huffaz cilik menjelang tahun 2026.

77. Kita juga telah membuat keputusan agar semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) melaksanakan program Ulul Albab. Matlamat kita semua 57 MRSM dengan kapasiti pelajar seramai 37 ribu orang, akan melahirkan generasi yang mempunyai kekuatan dan kemantapan jiwa bersandarkan Al-Quran tanpa meminggirkan hal akademik dan kursus yang telah ditetapkan.

78. Anak-anak yang belajar di Tahfiz juga tidak dilupakan. Dasar Tahfiz Negara 2.0 akan diperkenalkan untuk memperkemas sistem pendidikan dan kondusifnya persekitaran yang melahirkan hufaz berketrampilan.

79. Ikhtiar kita ini, Insya Allah akan mencapai matlamat:

Pertama, melahirkan generasi Rabbani (berlandaskan Ketuhanan);

Kedua, meramaikan generasi yang memiliki “Akhlaqul Karimah” (kemuliaan akhlak);

Ketiga, mewujudkan generasi yang “Qudwah Hasanah” (menjadi teladan yang baik) dan;

Akhirnya, generasi ini akan mengangkat ‘Izzah iaitu kemuliaan sebuah negara bangsa.

80. Sehubungan itu, bagi memperkasakan agenda melahirkan generasi masa hadapan yang kukuh jatidirinya, UMNO akan mengangkat cadangan kepada kerajaan agar semua Sekolah Rendah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) melaksanakan program Ulul Albab sepenuhnya. Ini bagi memastikan wujudnya kesinambungan pendidikan Al-Quran yang telah kita mulakan di peringkat Tabika.

81. Selain itu, kita juga akan mencadangkan agar MARA melengkap ekosistem pendidikannya, dengan membuka sekolah-sekolah rendah. Ini bagi memastikan agenda membangunkan generasi masa hadapan, dapat digarap dengan silibus pembangunan modal insan yang mantap.

Sidang perwakilan sekalian

AGENDA KEDUA: PEMBERDAYAAN WANITA

82. Dalam mengangkat agenda besar negara, UMNO perlu melonjakkan peranan kaum wanita sebagai aset penting pembangunan negara. Dengan jumlah wanita yang besar di pusat-pusat pengajian tinggi melebihi 69%, mereka akan memenuhi pasaran pekerjaan dan tak kurang juga di bidang keusahawanan.

83. Untuk itu, Wanita UMNO mesti menukilkan kerangka Aspirasi Wanita Baharu yang berupaya mengembangkan potensi dan meletakkan wanita sebagai pemangkin utama produktiviti negara. Justeru, Wanita UMNO perlu menerajui usaha mengangkat agenda pendidikan, keusahawanan, kepimpinan, kesihatan dan kekeluargaan dalam kalangan Wanita.

84. Sebagai contoh, pada Perhimpunan Agung tahun lalu kita telah memperkenalkan program khusus TVET untuk wanita yang kemudiannya dikenali sebagai TVET Jelita (Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement). Sehingga kini seramai 4,145 orang Wanita telah mengikuti kursus-kursus kemahiran yang ditawarkan. Saya yakin, melalui Aspirasi Wanita Baharu, banyak lagi program seumpama TVET Jelita dalam bidang- bidang lain yang boleh dicerna.

85. Sekretariat HAWA juga perlu seiring untuk menggarap kebolehan kalangan wanita profesional yang semakin bertambah. Ia bertujuan untuk melahirkan idea dan gagasan besar pembangunan wanita pada masa hadapan. Melalui usaha ini, kita mahu lebih ramai kalangan profesional wanita Melayu bersama-sama dengan perjuangan kita.

86. Saya juga suka menarik perhatian perwakilan, parti kita juga didominasi oleh kaum wanita. Dengan jumlah Wanita UMNO mencecah 1.36 juta orang dan Puteri UMNO seramai 230 ribu orang, menjadikan mereka majoriti dalam parti kita. Saya tidak terkejut dan tidak mustahil selepas ini cai pemilihan cawangan juga dikuasai oleh wanita.

Sidang Perwakilan sekalian,

AGENDA KETIGA: ANAK MUDA PEMANGKIN PERTUMBUHAN

87. UMNO perlu membangunkan pendidikan dan meningkatkan sumber pendapatan anak muda. Kita perlu lebih terkehadapan dalam memikirkan kelangsungan hidup mereka.

88. Santuni mereka di semua peringkat dan latar. Jadikan diri kita pelengkap kepada ekosistem anak muda, kerana merekalah aset penting yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi, terutama dalam sektor-sektor pertumbuhan baharu negara.

89. Bagi maksud itu, kita mengangkat TVET sebagai agenda besar. Menjadikan TVET sebagai pilihan arus perdana akan membuka ruang lebih luas kepada anak-anak muda menyertai sektor perekonomian dan perindustrian negara.

90. Alhamdulillah, hasil usaha kita bersama – TVET semakin mendapat tempat di hati anak-anak muda. Malah beberapa kejayaan telah dapat kita saksikan. Contohnya Norazian Binti Mohd Sobri lepasan Madrasah Nahdhah Hasanah, Kedah Darul Aman kini bergelar

jurutera penerbangan bersama Thales Singapura. Di samping itu, seramai 622 orang lagi, berjaya menjadi jurutera penerbangan setelah mendapat latihan di UniKL-MIAT. Selain itu, seramai 1,225 anak-anak muda kita juga telah mengikuti kursus kemahiran hingga ke negara China.

91. Pada Perhimpunan Agung tahun lalu, kita telah membangkitkan penglibatan besar anak-anak kita dalam ekonomi Gig. Cadangan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig (SEGiM) telahpun kita kemukakan dan diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri. Kini ia berada di fasa akhir penubuhan bagi membela nasib sekurang- kurangnya 1.16 juta pekerja.

Sidang Perwakilan yang dikasihi

AGENDA KEEMPAT: PEMANTAPAN TRANFORMASI EKONOMI BUMIPUTERA

92. UMNO tetap komited dalam memperkasakan ekonomi Bumiputera. Sejak Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) pertama pada tahun 1965, yang diilhamkan oleh UMNO, kita terus berperanan mengangkat agenda ekonomi Bumiputera. Terbaharu, pada Februari tahun ini, hasil cadangan dewan keramat ini tahun lalu, KEB 2024 telah berjaya dianjurkan.

93. Dalam ucapan saya semasa kongres berkenaan, saya telah menggariskan 3 Matlamat, 6 Tekad dan 3 Ikhtiar sebagai garapan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 atau ringkasnya

PuTERA 35. Saya lontarkan matlamat, tekad dan ikhtiar ini mewakili suara UMNO yang menunjangi pelaksanaan Kongres berkenaan.

94. Kita akan terus memantau semua resolusi dan beberapa pengumuman yang telah dibuat oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa penutupan KEB, seperti dana Pembiayaan Kredit Mikro Bumiputera sebanyak RM 1 bilion, geran permula Waqaf MARA Madani sebanyak RM100 juta, memperuntukkan tanah seluas
50 ekar di Bandar Malaysia sebagai Tanah Rezab Melayu dan Pembangunan Komersil Tanah Rezab Melayu. Terima kasih YAB Perdana Menteri atas komitmen melaksanakan KEB.

95. Tugas kita kini adalah memastikan setiap resolusi dan inisiatif dilaksanakan dengan teliti dan mencapai keberhasilan. Kita harus memastikan manfaatnya benar-benar sampai kepada golongan Bumiputera yang memerlukan. Justeru, kita akan cadangkan agar kajian dan pelaporan tahunan dibuat untuk menilai keberkesanan serta manfaatnya benar-benar sampai kepada golongan sasaran.

96. Di samping pelaksanaan KEB, kemasukan pelaburan asing, turut membuka peluang kepada pengusaha-pengusaha Bumiputera menikmati limpahan aktiviti ekonomi. Berdasarkan pelaburan diluluskan bagi tahun 2023, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah berjaya menarik pelaburan sebanyak RM329.5 bilion, jumlah tertinggi dalam sejarah negara. Tahniah kepada MITI atas kejayaan ini.

97. Sebagai Pengerusi Majlis Pembangunan Halal Negara pula, saya melihat potensi industri halal ini terlalu besar. Pada tahun 2023 sahaja, sumbangan industri halal kepada KDNK direkodkan pada

kadar 7.9% dengan jumlah eksport produk halal adalah sebanyak RM53.72 billion berbanding jumlah keseluruhan eksport negara RM1.426 trillion. Pasaran dan peluang yang besar ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengusaha-pengusaha Melayu.

98. Inilah UMNO saudara-saudari sekalian. Kuasa yang ada kita gunakan sepenuhnya bagi memelihara hak anak-anak Melayu. Bukannya mengagihkan kontrak kepada anak dan menantu.

99. Maka dalam Perhimpunan Agung kali ini, UMNO mencadangkan untuk kerajaan menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Utama (the Core Economic Action Council – CEAC). Majlis ini difikirkan perlu memandangkan negara sedang beralih kepada sumber pertumbuhan dan penghasilan baharu negara seperti Nadir Bumi, Ekonomi Digital, Inovasi dan Pelaburan Hijau serta Pendidikan TVET Aras Tinggi. Di samping itu, melalui CEAC ini, kerajaan juga boleh mempertimbangkan regim percukaian progresif bagi meningkatkan pendapatan negara.

Sidang Perwakilan sekalian,

AGENDA KELIMA: POLITIK DIGITAL

100. Sedar tak sedar, sekarang kita berada di era politik digital atau lebih tepat saya sebutkan sebagai politik handphone. Hanya berbekalkan handphone seseorang itu boleh menjadi pakar pelbagai bidang. Ada yang menjadi ulama’ handphone, doktor handphone, pakar undang- undang handphone, pakar sukan handphone dan sudah pastinya menjadi pempengaruh politik handphone.

101. Bahkan, ketika saya sedang berucap, tidak kurang yang leka dengan handphone. Informasi kini hanya di hujung jari. Saya ingin menarik perhatian, perubahan teknologi yang turut mempengaruhi pola fikir rakyat melalui 3-S.

102. Dahulu, S pertama ialah kebergantungan kita hanyalah kepada “Skrip dan skrin”. Politik masih mudah dikawal melalui akhbar, makalah dan televisyen. Kemudian, kita beralih kepada era S yang kedua iaitu “Scroll” yang mendedahkan kita kepada website, portal dan blog. Kini, kita berada di era S yang ketiga iaitu ‘swipe’ melalui paparan video ringkas di Tiktok.

103. Saya kongsikan 3-S ini sebagai persediaan untuk kita mengadaptasi perubahan teknologi bagi memenangi peperangan persepsi. Politik berteraskan Kecerdasan Buatan atau “AI” akan menguasai peperangan minda pada PRU akan datang. Yang tiada boleh jadi ada. Yang nyata boleh jadi dusta. Yang jauh seolah-olah di depan mata.

104. Mendepani cabaran baharu yang akan kita hadapi melalui teknologi AI, saya memuji kebijakan Kementerian Pendidikan Tinggi yang telah mewujudkan Fakulti AI di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Inisiatif ini membuktikan UMNO terus relevan dalam menentukan dasar-dasar yang realistik termasuklah usaha memecahkan tembok lama dan bergerak dalam kelajuan seiring dengan keperluan semasa.

105. Kepantasan teknologi digital kini membuka ruang dan peluang yang luas kepada anak muda untuk mengembangkan kemahiran, mencipta inovasi peluang perniagaan dan menyertai pelbagai sektor ekonomi atas talian.

106. Melihat kepada besarnya potensi untuk anak-anak muda ini, ia sepatutnya menjadi perkara yang perlu dipelopori oleh Pemuda dan Puteri. Kita mesti senada dan seirama dengan fitrah serta hasrat mereka. Kuasai minda pemikiran dan perhalusi faktor anak muda membuat sesuatu keputusan.

107. Saya ingin mengulangi gesaan saya dua tahun lalu, Pemuda dan Puteri jadilah jurubicara parti di alam maya melalui penghasilan content dan melahirkan influencers yang berwibawa. Di tangan andalah terletak harapan besar untuk mengubah sudut pandang anak-anak muda kepada parti dan kembali bersama dengan kita semula.

108. Terkait dengan harapan ini, usaha Kementerian Pertahanan melaksanakan PLKN 3.0 dengan format baharu bermula pada tahun 2025, diyakini akan dapat membentuk generasi Malaysia yang memiliki ketahanan dan jatidiri yang kukuh. Syabas Menteri Pertahanan.

Saudara-saudari perwakilan sekalian,

109. Sementara kita berbicara tentang agenda besar membela anak bangsa, jangan pernah kita lupa kepada saudara-saudara kita, yang berjuang di medan masing-masing. Kita tidak akan lupa apatah lagi leka membela nasib saudara kita di bumi anbiya’ Palestin. Kita tidak akan sesekali meninggalkan mereka berjuang bersendirian.

110. Kita ingin merakamkan tahniah kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas kelantangan suara beliau menyatakan pendirian tegas Malaysia menyokong perjuangan rakyat Palestin. Tahniah juga kepada Kementerian Luar Negeri yang turut memainkan peranan aktif sehingga membawa kepada penerimaan keanggotaan penuh Palestin oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Terbaru, usaha membawa rakyat Palestin mendapatkan rawatan di negara ini, adalah bukti keprihatinan kita terhadap mereka. Usaha-usaha ini tidak akan terhenti setakat itu sahaja. Kita akan meneruskan sokongan sehingga Palestin dapat menghirup udara kemerdekaan dalam erti kata sebenarnya.

111. Perjuangan rakyat Palestin amat dekat dengan kita. Almarhum Sheikh Dr Ismail Haniyeh bukan sekadar pemimpin tetapi juga seorang sahabat yang sangat rapat dengan saya. Marilah kita sama- sama sedekahkan Al-Fatihah agar rohnya ditempatkan bersama para syuhada dan Allah meredhai perjuangannya.

112. Seperkara lagi, di pentas antarabangsa, kita juga merakamkan tahniah kepada Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi yang melakar kejayaan penting selepas menang di Mahkamah Antarabangsa The Hague Belanda, Perancis dan Sepanyol dalam kes tuntutan Kumpulan Sulu. Kejayaan ini amat bermakna buat kedaulatan rakyat Negeri Sabah.

113. Begitu juga halnya komitmen dan ketegasan Kementerian Perladangan dan Komoditi dalam mendepani diskriminasi terhadap minyak sawit oleh negara-negara Eropah. Langkah ini bagi menjamin kelangsungan industri sawit negara yang melibatkan nasib dan masa depan peneroka-peneroka kita di FELDA, FELCRA, RISDA juga

Lembaga-Lembaga Kemajuan Tanah di seluruh negara. Tahniah kepada Menteri Perladangan dan Komoditi.

114. Kita juga tidak lupa kepada pencapaian barisan Menteri Besar dan Ketua Menteri kita di empat negeri yang kita ketuai.

 Tahniah negeri Pahang yang mencapai kutipan hasil sebanyak RM 1.164 billion bagi tahun 2023.
 Perak pula dengan pelaburan Geely di Proton Tanjung Malim memangkin peluang latihan, kemahiran dan pekerjaan buat anak anak tempatan.
 Kita berbangga Johor pula menjadi negeri yang menerima pelaburan mencecah nilai RM 113.7 bilion bagi tempoh dua tahun dan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.1% mengatasi pertumbuhan nasional 3.6%.
 Tidak ketinggalan negeri Melaka terus mengharumkan nama negara menjadi destinasi pelancongan utama.
 Tidak dilupakan kita di Negeri Sembilan sebagai sebahagian kerajaan Perpaduan yang dapat menjamin kestabilan.

115. Saudara-saudari sekalian, pada masa yang sama kita juga tidak pernah lupa akan perjuangan untuk membela sahabat yang juga pemimpin kita yang masih berada di belakang tirai besi.

116. Seperti yang saya jelaskan semasa Taklimat Presiden kelmarin, perjuangan kita untuk membela Dato’ Sri Najib tidak pernah terhenti. Jika ada yang masih bertanyakan komitmen – pendirian parti tetap teguh.

117. Walau ada yang mempertikaikan ikrar afidavit berhubung Titah Adendum, yang diikrarkan oleh saya dan Dato’ Sri Wan Rosdy, mengenai pelaksanaan baki hukuman Dato’ Seri Najib menerusi tahanan rumah (house arrest), ia adalah bukti komitmen kita tidak pernah goyah. InsyaAllah kita tidak akan berhenti selagi nasib Bossku tidak mendapat pembelaan.

Sidang Perwakilan sekalian,

Berpandukan 3 rukun politik yang digariskan… Berteraskan 4 ciri dominan yang telah diungkapkan… Berdasarkan 5 agenda utama yang mesti dilaksanakan… Kini, masanya untuk kita terus melangkah ke depan… Menggenggam erat amanah perjuangan…

Saudara-saudaraku…

Di hadapan kita, terhampar pelbagai kemungkinan…
Di hadapan kita, tajamnya duri yang menguji ketabahan… Di hadapan kita, terpapar 1001 dugaan dan cabaran…
Yang menuntut kebersamaan, kesetiaan dan pengorbanan… Demi UMNO, legasi bangsa yang kita pertahankan…

Kini bukan masanya kita berantakan… Mengukir sengketa di tapak perjuangan… Meniup kebencian menyemai kesangsian… Menambah luka di parut kekalahan…

Jalan kita masih panjang, Bahayanya tak pernah lekang,
Musuh luar dan dalam tak pernah senang, Mengintai peluang menikam dari belakang, Untuk melihat kita kecundang…

Bingkaslah bangun wahai saudaraku, Jangan alpa, jangan leka,
Setiap saat itu berharga,
Setiap langkah kita setia bersama,
Setia di puncak kuasa membina negara,
Setia tatkala badai kekalahan dan ribut ujian melanda, Setia berjuang hingga ke hujung nyawa…

Ayuh…
Kini masanya kita sepakat… Keputusan jemaah sebagai iktiqad… Bersulam wala’ dan juga taat… Berbaiah setia sebagai azimat… Kepada Allah kita bermunajat… Bulatkan tekad, kuatkan semangat… Ikhlaskan hati perbetulkan niat… Selarikan tumit agar saf kita rapat… Kerana setelah takbir diangkat… Bersiaplah kita ke medan jihad…

Allahu Akbar…
Allahu Akbar…
Allahu Akbar…
Hidup UMNO!
Hidup UMNO!
Hidup UMNO!

Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit