Kolaborasi Bangunkan Taska Kanak-kanak, Tingkat Kesejahteraan Masyarakat – Nur Atiqah

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Wilayah Persekutuan, Nur Atiqah Najihah Hairudi menggariskan beberapa cadangan bagi menangani kekurangan pusat penjagaan kanak-kanak yang memberi kesan besar kepada kesejahteraan masyarakat.

Antaranya dengan mewujudkan lebih banyak pusat jagaan yang berhampiran kawasan pejabat dengan kolaborasi syarikat-syarikat yang boleh digunakan oleh pekerja daripada syarikat sama.

“Ini tidak hanya dapat mengurangkan kos penyelenggaraan, tetapi juga meningkatkan aksesibiliti bagi ibu bapa yang bekerja di kawasan tersebut. Kajian dari International Journal of Child Care and Education Policy menunjukkan bahawa pusat jagaan kanak-kanak yang berdekatan dengan tempat kerja dapat mengurangkan tekanan ibu bapa dan meningkatkan kehadiran pekerja.

“Dengan mempertimbangkan penggunaan ruang di dalam atau berhampiran bangunan pejabat yang sedia ada. Ini boleh memudahkan ibu bapa untuk memantau anak mereka dengan lebih dekat.

“Penggunaan ruang yang ada boleh mengurangkan kos dan mempercepatkan pembukaan pusat jagaan baru. Contoh di negara seperti Singapura menunjukkan bahawa integrasi pusat jagaan kanak-kanak dengan bangunan pejabat membantu dalam mengurangkan kos dan meningkatkan kualiti penjagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi pembahas kepada ucapan dasar ketua Puteri pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO (PAU) 2024 yang diadakan di Dewan Merdeka hari ini.

Nur Atiqah dalam pada itu turut mencadangankan agar diwujudkan insentif bantuan penjagaan kanak-kanak seperti memberikan subsidi atau potongan cukai untuk ibu bapa yang membayar pusat penjagaan kanak-kanak.

Menurut beliau ini akan membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung kerana menurut laporan OECD Family Database, subsidi penjagaan kanak-kanak yang disasarkan bukan sahaja membantu ibu bapa secara langsung tetapi juga meningkatkan kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja.

“Kajian di Australia menunjukkan bahawa subsidi penjagaan kanak-kanak bukan sahaja berjaya mengurangkan kos yang ditanggung ibu bapa sebanyak 30 peratus, malah turut meningkatkan kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja sebanyak 10 peratus,” katanya lagi.

Sementara itu kata beliau, bantuan kewangan berdasarkan pendapatan perlu diambil kira sebagai pendekatan dengan cara yang adil dan bersasar.

“Kajian dari World Bank menunjukkan bahawa bantuan kewangan yang disasarkan dapat mengurangkan ketidaksamaan dalam akses kepada penjagaan kanak-kanak.

“Program bantuan berasaskan pendapatan yang dilaksanakan di negara-negara seperti Kanada dan Sweden telah menunjukkan hasil yang positif dalam mengurangkan beban kewangan bagi keluarga berpendapatan rendah,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.