Kerjasama UMNO Rentas Pelbagai Parti Politik Bukan Perkara Baharu – Khairul Azwan

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun melihat kerjasama politik yang digagaskan UMNO hari ini bukanlah satu perkara baharu malah ianya telah dipraktikkan sejak sekian lama.

Menurut beliau perkara berkenaan dapat dilihat sebelum ini sehinggalah tertubuhnya Barisan Nasional (BN) yang merangkumi kepelbagaian parti dan kolaborasi tersebut berterusan sehinggalah kerjasama bersama Kerajaan Perpaduan hari ini.

“Pertama, UMNO sebenarnya parti yang sejak daripada pra-kemerdekaan sememangnya sentiasa bekerjasama dan sentiasa mengadakan kolaborasi politik. Untuk UMNO, sehingga kejayaan membawa kemerdekaan ianya berasaskan kepada kerjasama politik. Setelah pelbagai episod kita membuat penyesuaian politik sehinggalah tutubuhnya BN. Itu pun didasari oleh semangat kerjasama politik dan kolaborasi politik perkongsian kuasa.

“Sehingga ke hari inilah, setelah BN tewas pada pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan ke-15, kita membuat kerjasama baharu. Jadi ini fakta pertama yang kita kena jelaskan kepada generasi muda kerana ini bukan satu benda baharu dalam politik UMNO.

“Sekali lagi ditegaskan kita memang parti yang sentiasa bekerjasama dan akan menubuhkan kolisi untuk menubuhkan kerajaan. Kita tak pernah lupakan sejarah…malah UMNO secara tidak sendirian menubuhkan kerajaan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau berucap membawa usul ucapan dasar presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO, di Dewan Merdeka, petang tadi.

Khairul Azwan seterusnya menambah perkara keduanya dalam konteks kerjasama politik, UMNO bekerjasama dengan Dap dan parti-parti lain dalam Pakatan Harapan, PKR dan Amanah bukan satu perkara yang pelik.

“Sebenarnya, istilah UMDap yang dimomokkan oleh sesetangah pihak… kalau dilihat dan imbau balik, seawal tahun 2008, selepas PRU ke-12, jauh lebih awal Pas bekerjasama dengan Dap untuk menubuhkan kerajaan. Dalam konteks Negeri Perak, Menteri Besar Negeri Perak pada PRU ke-12 datang daripada pemimpin Pas dan mereka waktu itu kerusi DUN pun tak banyak tapi menjadi Menteri Besar.

“Kemudian pada PRU ke-14, Bersatu pula, bekerjasama dengan Dap. Tadi Pas, ‘PasDap’, kemudiannya ‘BersaDap’… walhal, eh dahulu ‘PasDap ada, kemudian lepas PRU ke-14 ada ‘BersADap’. Waktu PRU ke-14 ‘BersaDap’, di Negeri Perak Menteri Besarnya adalah daripada Bersatu, sedangkan Bersatu hanya ada satu kerusi pada waktu itu, tapi berjaya menjadi Menteri Besar. Kenapa? Kerana kerjasama ‘BersaDap’.

“Dan hari ini selepas PRU ke-15, kita menjadi Menteri Besar di Negeri Perak walaupun kita ada sembilan kerusi DUN…kerana kita bekerjasama dengan PH yang mana ada Dap, PKR dan Amanah. Namun mereka mula melemparkan cercaan, hinaan kepada kita yang bekerjasama dengan Dap dan parti komponen PH,” ujarnya.

Justeru ujar beliau lagi menjadi tanggungajawab semua ahli dalam parti khususnya kalangan pimpinan pelbagai peringkat untuk sama-sama menerangkan soal ini kepada seluruh ahli parti.

“Jadi saya minta semua perwakilan hari ini kita kena ceritakan hakikat ini dan fakta ini kepada anak muda supaya mereka tahu akan sejarah ini agar apabila ada naratif-naratif dilontarkan oleh pembangkang terhadap UMNO ni, mereka tak mudah percaya dan tak mudah dipengaruhi,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit