Kemenangan PRK Nenggiri… Satu Perkara Perlu Direnung Dengan Muhasabah

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Kemenangan UMNO/Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri merupakan satu perkara yang perlu direnung untuk bermuhasabah.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan, Mohd Azmawi Fikir Abd Ghani berkata, kesepaduan dan iltizam seluruh jentera sepanjang tempoh berkempen merupakan ramuan kejayaan kemenangan UMNO/BN di PRK Nenggiri.

“Jika ditanya kepada saya apakah ramuan kepada kejayaan kita di PRK Nenggiri… maka apa yang saya mampu rangkumkan adalah sepanjang kempen PRK Nenggiri ini kesepaduan dan iltizam kita semua untuk bangkit serta beberapa perkara yang saya dapat kongsikan.

“Proses yang diambil ini menzahirkan muafakat bijaksana dalam UMNO Gua Musang yang diketuai oleh YM Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah sehingga membawa kepada kesepaduan jentera di PRK ini. Seterusnya ketika mengepalai kemudi sebagai Pengarah Pilihan Raya PRK Nenggiri, beliau telah mengarahkan untuk tiada ceramah besar dilakukan untuk kempen, sebaliknya tumpukan kepada ceramah berkelompok dan perjumpaan kecil yang dinamakan ‘taqarrub’. Tiada maki hamun pihak lawan dan janji bulan bintang yang dihamburkan.

“Beliau arahkan supaya calon dan jentera berjumpa seramai mungkin pengundi untuk merayu undi bagi membantu rakyat Nenggiri. Penghargaan seikhlas hati saya lebarkan kepada seluruh jentera UMNO/BN dari segenap pelusuk negara datang membantu kami di Nenggiri, malah Presiden sendiri tujuh kali turun ke Nenggiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perbahasan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 mewakili Negeri Kelantan.

Menurutnya, rakyat tidak gemar mendengar tuduhan tidak berasas namun mahu melihat penyelesaian terhadap isu yang membelenggu mereka selama ini.

“Rakyat pada saya tidak gemar lagi mendengar tuduhan yang tidak berasas dan segala macam gelaran diberikan. Sebaliknya rakyat mahu lihat apakah idea penyelesaian terhadap isu yang kita bawa. Kalau kita semua lihat kempen BN di Nenggiri tiada caci maki pun kita keluarkan terhadap mereka, walau mereka cuba mengheret kita masuk kedalam provokasi yang mereka ciptakan. Terbukti mereka sendiri lemas dengan provokasi itu dan, akhirnya kebenaran akan mengatasi kebatilan.

“Untuk PRK Nenggiri ini saya melihat media sosial amat membantu saya dalam berkempen, dan ditambah pula dengan hadirnya ikon Tik Tok kita ADUN Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Haleem, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Salleh yang merupakan idola anak muda di Nenggiri malah tidak keterlaluan saya katakan mereka berdua ini memiliki karakter wakil rakyat didambakan oleh rakyat Malaysia.

“Satu perkara yang menjadi pengajaran penting kepada saya dan seluruh kepimpinan UMNO adalah untuk mewajahkan diri kita di media sosial untuk menarik minat serta mewujudkan kesedaran kepada rakyat tentang apa yang UMNO/BN boleh berikan kepada rakyat. Saya seru kepada semua, bermula sekarang aktifkanlah media sosial masing-masing kerana ia adalah alat yang paling ampuh untuk memenangi hati rakyat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut mengakui bahawa proses pemutihan dilakukan oleh parti adalah perkara terbaik untuk membersihkan parti daripada parasit.

“Yakinlah bahawa Presiden membuat keputusan yang tepat sebelum ini dengan mencantas parasit yang memakan besar dan rendangnya pohon UMNO ini. Kita semua menjadi saksi di PRK Nenggiri mereka ini tanpa segan silu mencerca UMNO yang pernah menjadi payung mereka mengecap segala macam nikmat.

“Jika diibarat sebuah pasukan bolasepak, Presiden membuat tindakan yang tepat apabila memecat dan membersihkan semua pemain yang dilihat menjual permainan. Barulah pasukan boleh maju dan bergerak kehadapan. Terima Kasih, Presiden UMNO.

“Tanpa mahu mendabik dada atau berbangga diri, saya memohon untuk kita semua melihat kemenangan ini sebagai satu perkara yang perlu kita renung dan bermuhasabah. Untuk terus mengekalkan momentum yang kita perolehi ini bukanlah sesuatu yang mudah. Janganlah kita mengherdik lawan secara berlebihan sebaliknya sama-sama perkuatkan parti, bawa politik kebajikan dan idea… bentangkan kepada rakyat Insya-Allah rakyat bersama kita,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit