Kemenangan PRK DUN Nenggiri Wajar Dirai, Syukur Orang Melayu Dukung Perjuangan UMNO

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri wajar dirai dan ia menjadi bukti rakyat masih memberi kepercayaan kepada UMNO/BN, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan.

Katanya, UMNO perlu bersyukur kerana ini juga menunjukkan orang Melayu menaruh harapan kepada parti dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

“DUN Nenggiri telah membuktikan bahawa orang Melayu telah bangkit semula mendukung UMNO. Ini adalah permulaan manisnya dan insya-Allah, orang Melayu akan bersama dengan perjuangan parti.

“UMNO kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan 15, kerana sokongan anak muda tidak bersama kita, tetapi Nenggiri telah membuktikannya dan syukur Alhamdulillah anak muda sudah kembali pada perjuangan UMNO.

“Rakan-rakan seperjuangan dari negeri Kelantan tahu sejak PRU ke-11 hingga 15 antara punca UMNO kalah di negeri Kelantan ini apabila pengundi-pengundi mereka yang dari luar Kelantan, mereka pulang ke negeri hanya mahu mengundi parti Pas,” katanya semasa sesi penggulungan pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO, semalam di Dewan Tun Razak, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).

Turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Said, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Datuk Lokman Nor Adam; mantan-mantan Exco Wanita UMNO serta perwakilan Wanita UMNO seluruh negara.

Jelasnya, kemenangan dalam PRK tersebut harus disyukuri dan berharap agar kejayaan demi kejayaan akan diperolehi serta kekal pada PRU ke-16 kelak.

Pada masa yang sama Rafi yang Ketua UMNO Bahagian Labuan berkata sekiranya parti ini kalah pada DUN Nenggiri baru-baru ini, sudah pasti akan ada pihak bertindak menuding jari pada seseorang.

“Sekiranya Nenggiri ini kita kalah dan apa akan berlaku pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada tahun ini. Apabila menang kerana strategi dan itu sebab kita menang tapi sekiranya kita kalah di Nenggiri kekalahan itu hanya menuding jari pada seseorang untuk ambil tanggungjawab kekalahan tersebut.

“Sudah pasti semuanya akan menuding kekalahan itu pada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pasti perwakilan UMNO akan mempertikaikan kepimpinan tertinggi dan sudah pasti ada suara itu.

“Berlaku adil dalam perjuangan ini… menang sama-sama kita raikan tapi kalah kita sama-sama raikan dan inilah yang berlaku kepada parti kita sejak dulu, yang manis kita ambil semua dan pahit beri pada Presiden parti,” jelasnya lagi.

Tambah beliau lagi, ahli parti harus belajar dari sejarah bahawa UMNO juga tidak lari daripada masalah mempunyai musuh baik di dalam mahupun di luar negara.

“Parti UMNO mempunyai musuh di dalam negara dan luar negara serta mahu jatuh dan bunuh UMNO serta mengkafankan UMNO lebih 20 tahun.

“Mereka mahu bunuh ‘hulubalang’ dan Presiden berlaku sejak dulu sehingga kini dan yang sedihnya lagu, tarian yang dibawa oleh pembangkang kita juga turut mengikutnya,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit