Kemenangan Di Nenggiri Hadiah Bermakna Untuk PAU 2024

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki beranggapan bahawa kemenangan UMNO/Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri merupakan hadiah bermakna untuk Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini.

Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pengundi DUN Nenggiri yang memberikan kepercayaan kepada UMNO/BN.

“Lebih bermakna, perhimpunan kali ini berlangsung sejurus kita peroleh kemenangan di PRK Dun Nenggiri.

“Ucapan setinggi penghargaan buat seluruh pengundi Nenggiri atas kepercayaan yang diberikan kepada UMNO dan BN. Insya-Allah kepercayaan ini tidak sesekali akan kita khianati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan laporan Tahunan Setiausaha Agung UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024.

Mengulas lanjut, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan para jentera atas kerja kuat sehingga UMNO/BN menang di DUN Nenggiri.

“Terima kasih kepada seluruh jentera UMNO dan BN di semua peringkat yang bergerak penuh disiplin, tersusun serta tidak mengalah di bawah nakhoda Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.

“Yang utama, jangan kita lupa susuk tubuh yang bertanggungjawab merencanakan segala strategi, merancang penuh kebijaksanaan hingga membawa kepada kemenangan ini. Marilah bersama kita berikan penghormatan setingginya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Berkat sepakat dan kerja kuat, 17 daripada 20 pusat daerah mengundi (PDM) berjaya kita menangi. Undi anak-anak muda di semua saluran meningkat tinggi. Malah, sokongan orang Melayu sudah kembali, tidak dilupa kesetiaan orang asli yang tidak berbelah bahagi, dan paling penting kita dikurniakan Allah dengan kemenangan 3,352 majoriti undi,” katanya lagi.

Calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie memperoleh 9,091 undi menewaskan pencabarnya calon Pas Mohd Rizwadi Ismail mewakili PN yang meraih 5,739 undi.

BN berjaya merampas semula kerusi DUN Nenggiri dan buat pertama kali kerusi penyandang bertukar tangan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.