Hentikan Politik Label-melabel, Lawanlah Guna Idea – Fathul Bari

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya meluahkan kekesalan beliau dengan tindakan parti politik yang suka memainkan sentimen label-melabel.

Menurut beliau, tindakan tersebut bertentangan dengan ajaran Islam yang melarang untuk menimbulkan persepsi yang jelas sengaja ditimbulkan tanpa bukti.

“Politik yang menimbulkan persepsi ini menakutkan rakyat kerana hari ini sosial
media, kenyataan, ceramah tanpa ada bukti yang kukuh, fitnah itu merupakan perkara yang dilarang oleh agama.

“Nak lawan gunalah idea, dasar bukan serang personal. Hari ini Dasar Tahfiz Negara, Dasar TVET Negara, dasar untuk menguruskan rakyat yang berniaga pagi dan petang, gig-ekonomi, program ekonomi bumiputera menggariskan perkara penting, dajalkah dasar ini?” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 sebagai penyokong usul ucapan dasar Presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Kekesalan diluahkan Fathul itu susulan kenyataan daripada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyamakan UMNO/Barisan Nasional (BN) dengan dajal susulan kekalahan mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri.

Katanya lagi pemikiran sebegini sangat tidak sihat yang bertindak menghukum pihak lawan menggunakan sentimen dimainkan mereka.

“Sebab itu kita jangan terlibat dalam kumpulan pukalisme, dia menghukum orang pukal sehinggakan habis semua,” tegas beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata agama bukanlah khusus sesebuah parti politik sebaliknya untuk semua bangsa.

“Jangan buat agama itu milik parti politik, sebaliknya agama untuk semua bangsa, jangan ada skeptikel bila Pas buat sahaja islamik, tapi UMNO tidak cukup Islam tak boleh.

“Jangan tengok Islam hanya masjid dan kitab, baca kitab tiada implimentasi bukan Islam namanya yang Islami apabila baca kitab ambil ilmu dan praktiskan sesuaikan dengan pentabdiran negara,” katanya lagi.

Fathul dalam pada itu menyambut baik saranan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengamalkan politik kesederhanaan dengan menghindari politik ekstrem. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit