HAWA Peneraju Perubahan Inklusif Di Malaysia – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan penghargaan kepada Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil kerana telah melakukan satu perubahan besar.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata perubahan besar yang dilakukan HAWA adalah mengumpulkan semua badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh Malaysia untuk bersama parti.

“Saya mengucapkan tahniah untuk HAWA kerana ini adalah merupakan ‘game changer’ atas satu perubahan besar yang berani dibawa untuk mengumpulkan semua NGO termasuk kaum lelaki dan wanita di seluruh negara.

“Ianya juga sangat bersifat majmuk dan ‘multi racial’ … maka syabas juga kerana ada tujuh ‘focus group’ yang diberikan tumpuan untuk bersama-sama dengan pemikiran baharu yang terangkum di kalangan kita secara inklusif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Serah Terima Instrumen MoU Rakan Strategik di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) petang ini bersempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024.

Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bersama jawatankuasa HAWA serta barisan penyokong parti.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menjelaskan perhimpunan petang ini merangkumi pelbagai kaum yang hadir di WTCKL.

“Semoga perhimpunan ini yang melibatkan pelbagai kaum dan latar belakang terus berlangsung lancar. Bayangkanlah… inilah semangat Nenggiri yang telah melimpah dan memanaskan WTCKL. Tidak kira UMNO atau bukan mahupun kerajaan ataupun bukan kerajaan. Orang Melayu, Cina, India, Iban dan sebagainya, kita adalah sebagai rakyat Malaysia,” ujarnya.

PAU 2024 berlangsung penuh tertib dalam perasmiannya dengan bacaan selawat mengiringi kemasukan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama barisan kepimpinan dan ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO ke dalam Dewan Merdeka. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit