Wanita Berperanan Penting Pastikan UMNO Kekal Relevan – Siti Aminah

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Wanita UMNO adalah ‘pemain’ penting dalam memastikan UMNO kekal relevan .

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Siti Aminah Aching berkata, Wanita UMNO juga merupakan jentera utama parti dalam melaksanakan gerak kerja terutamanya ketika berhadapan dengan pillihan raya.

Beliau yang juga bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Beaufort berkata, pujian serta penghargaan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Wanita UMNO dalam melaksanakan gerak kerja kempen semasa PRN Nenggiri bagi mencapai kemenangan perlu dijadikan pendorong semangat untuk terus berjuang dan bekerja, bukan sahaja memastikan UMNO kekal relevan namun misi utama membawa kejayaan parti pada PRU akan datang.

“Penghargaan dan kepercayaan dari Presiden UMNO kepada kita (Wanita) perlu dihargai sebagai pendorong untuk meneruskan kelangsungan tanggugjawab memperkukuhkan parti,” katanya kepada UMNO Online.

Sehubungan itu Siti Aminah yang juga Ahli Parlimen Beaufort mengajak Wanita UMNO terus mendekati, mendengar dan merasai sendiri setiap keluhan rakyat untuk terus dibantu

Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan sokongan dan dukungan yang padu daripada ahli serta akar umbi kepada Wanita UMNO bagi menjayakan misi UMNO bangkit kembali.

“Jangan ada pihak memperlekehkan jasa serta sumbangan Wanita UMNO, lebih malang dari kalangan ahli parti sendiri yang memandang rendah peranannya, maka ia mesti ditolak,” tegas Siti Aminah.

Menurut Siti Aminah pemimpin dan ahli UMNO perlu bersama-sama mengharungi pahit getir yang menguji kekuatan dan kerukunan UMNO dalam satu organisasi yang kuat.

“Kita perlu sedar bahawa segala cabaran yang timbul, baik dari luar mahupun dalam parti sendiri memerlukan kesatuan, pengorbanan dan perpaduan dari semua anggota untuk terus bekerjasama dalam memperkukuhkan struktur UMNO demi generasi masa hadapan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit