‘UMNO Bukan Parti Politik Semata-mata… Pelopor Kemerdekaan Bawa Kemajuan Negara’

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Pengalaman dalam parti bermula di peringkat cawangan, bahagian dan seterusnya mengemudi Puteri UMNO negeri memberikan kesedaran bahawa UMNO bukanlah sekadar sebuah parti politik semata-mata, kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sembilan, Hazratul Ilani Misdar.

Sebaliknya kata beliau, UMNO sebuah parti yang berteraskan nasionalisme bangsa mempelopori kemerdekaan dan kemudiannya membawa kemajuan serta kedaulatan negara sehingga apa yang Malaysia telah capai pada hari ini.

“Sejujurnya saya dapat merasakan ketulusan perjuangan UMNO bukanlah sekadar sebuah parti politik semata-mata. Kerana dek asas dan tujuannya ditubuhkan.

“Aspirasi perjuangan UMNO tak pernah padam, kita tampil dengan kesederhanaan membawa nilai satu keluarga besar, saling menyantuni dan saling mendukung untuk keluar daripada kemiskinan, menjadi bangsa berilmu dan kemudian membawa kejayaan kepada anak bangsa.

“Laluan kita berliku hinggakan UMNO berdepan dugaan ditentang oleh bekas pemimpin dan juga bekas ahli-ahli dengan pelbagai alasan namun yang nyata UMNO masih tetap UMNO yang ada sejak dulu, kini dan insya-Allah selamanya,” katanya.

Hazratul berkata demikian sebagai pembahas kepada ucapan dasar ketua Puteri pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO (PAU) 2024 yang diadakan di Dewan Merdeka di sini hari ini.

Beliau dalam itu mengajak rakan-rakan dalam Puteri untuk kekal berdiri teguh di belakang kepimpinan UMNO bagi memastikan kesatuan dalam kalangan ahli tetap utuh dalam menghadapi cabaran politik yang semakin kompleks.

“Hari ini kita melihat Presiden UMNO, Timbalan Presiden UMNO, Naib-naib Presiden mahupun ketua-ketua sayap parti UMNO diserang secara terbuka dan tanpa henti oleh pihak lawan.

“Ini juga adalah cabaran kepada kita semua, namun ia juga merupakan satu peluang untuk kita memperkukuh kepimpinan tertinggi parti,” ujar beliau.

Sementara itu Hazratul turut menyentuh mengenai penguasaan media dalam politik masa kini kerana Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 akan datang menyaksikan kebergantungan sebanyak 50 hingga 60 peratus kepada pengaruh media sosial.

Untuk itu katanya, ahli UMNO perlu bijak dalam menggunakan media sosial untuk menepis dakwaan-dakwaan salah dan menonjolkan hasil kerja wakil-wakil rakyat UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Media sosial adalah platform yang sangat berpengaruh, dan kita mesti memanfaatkannya sebaik mungkin. Wakil rakyat dan pemimpin UMNO siang malam buat kerja.

“Hasil kerja mereka ini harus kita pamerkan kepada masyarakat setempat. Saya nak bagi contoh dalam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serting dalam Parlimen Jempol dari azali tak pernah kalah. Segala apa yang baik dari segi kemajuan dan segalanya dicurahkan kepada masyarakat.

“Namun calon lawan masuk dua minggu berkempen dan menang. Pandangan saya pengajaran harus kita ambil dan jangan berlengah untuk menunggu mood pilihan raya sampai. Sekarang ini juga harus melipat gandakan usaha memastikan pilihan raya nanti, kerusi yang kita bertanding mendapat kejayaan,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit